Mohd. Feroz (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan gelaran 'Datuk Seri' dan menipu pada pertengahan tahun lalu dan awal tahun ini.

JOHOR BAHRU – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret, di sini atas tiga pertuduhan termasuk duanya mengaku mempunyai gelaran ‘Datuk Seri’ pada bulan Jun 2020 dan Januari tahun ini.

Tertuduh, Mohd. Feroz Musa, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibuat secara berasingan, dua pertuduhan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan satu lagi di hadapan Majistret Zuhainie Zullkafly.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa mengaku dirinya sebagai pemegang sah Anugerah Datuk Seri Panglima di sebuah premis di Larkin Perdana jam 3.12 petang pada 23 Jun 2020 dan sekali lagi melakukan kesalahan sama di sebuah premis di Jalan Padi Ria 2, Bandar Baru Uda pada 8 Januari 2021.

Mohd. Feroz dituduh mengikut Fasal 4(1) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017 yang boleh dihukum mengikut Fasal 4(2) Enakmen sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM250,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ahmad Kamal kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 14 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aqila Ahmad Fuad.

Di Mahkamah Majistret pula, Mohd. Feroz didakwa menggunakan gelaran ‘Datuk Seri’ untuk memperdayakan seorang mangsa antara 24 Disember 2020 hingga 5 Januari tahun ini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, beliau didakwa menipu seorang wanita berusia 45 tahun dengan menyatakan dirinya mempunyai gelaran Datuk Seri dan mempunyai dana-dana di luar negara sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang bernilai RM11,600 yang dimasukkan ke dalam akaun milik tertuduh.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh memperuntukkan penjara tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dan turut menetapkan 14 November depan sebagai sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq. – BebasNews

Leave a Reply