GAMBAR: NSTP.

Oleh Fetty Rara

DALAM usaha membantu kanak-kanak Kurang Upaya (OKU) di Yaman, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menggunakan cetakan 3D bagi menghasilkan tangan palsu.

Inovasi oleh penyelidik kejuruteraan bioperubatan dan sains kesihatan Fakulti Kejuruteraan UTM itu diusahakan bersama syarikat pencetakan 3D, MyVista.

Ketua Projek dan Pensyarah Kanan UTM Ts Dr Mohd Najeb Jamaludin memberi tahu media bahawa inovasi tersebut memanfaatkan kepada kanak-kanak OKU berusia enam hingga 10 tahun yang masih mempunyai pergelangan tangan.

“Tangan palsu manual ini berfungsi sebagai terapi untuk melatih pemakainya menggunakan alat bantuan tangan pada peringkat permulaan, terutama yang baru sahaja terlibat dalam kemalangan, sekali gus membantu meningkatkan semula keyakinan,” katanya.

Mohd Najeb berkata sebanyak 30 unit tangan palsu itu akan dihantar kepada sebuah NGO di Yaman, Institut Penjagaan dan Rehabilitasi Orang Kurang Upaya Tahadi (TCRD) bulan depan.

“Istimewanya projek ini turut memberi sentuhan kemanusiaan dengan memperkenalkan proses rehabilitasi dan latihan secara berperingkat dan berkala.

“Sekiranya lulus latihan, TCRD akan bantu buat penilaian dan selepas itu baru kita akan menghantar tangan palsu daripada versi-versi lebih maju seperti yang menggunakan motor, bateri dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata inovasi itu amat relevan dalam konteks membantu Yaman kerana ramai pelajar Yaman di UTM mengambil pengajian dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan.

“Apa yang kita harapkan, apabila mereka habis melanjutkan pelajaran di sini dan telah menimba ilmu, kepakaran teknologi ini boleh dibawa pulang untuk mereka membantu masyarakat di sana yang kini dilanda krisis peperangan,” katanya.

— BebasNews

Leave a Reply