KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan hari ini pihaknya tidak pernah menawarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi mana-mana produk kewangan berasaskan wang Kripto termasuk Bitcoin dan Forex.

Tindakan pihak yang menyalahgunakan istilah halal tersebut dilakukan bagi mempengaruhi orang ramai supaya mendapatkan perkhidmatan dan melanggan produk mereka selain mendakwa ia patuh syariah.

Jakim menerusi Bahagian Hab Halal berkata, sijil halal yang dikeluarkan kepada syarikat berkenaan juga adalah palsu.

“Pengguna dinasihatkan agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai tipu helah daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kami menerima banyak pertanyaan di media sosial mengenai status SPHM terhadap produk kewangan iaitu wang Kripto termasuk Bitcoin dan Forex,”katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Jakim berkata, sekiranya terdapat sebarang kemusykilan berkaitan penyalahgunaan SPHM, pengguna bolehlah mengemukakan aduan yang lengkap kepada JAKIM.

Katanya lagi, untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki SPHM, orang ramai boleh melayari Portal Rasmi Halal Malaysia di www.halal.gov.my.

“Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar SmartHalal (http://www.smarthalal.com.my/faq.html),” katanya.

Terdahulu, beberapa pihak tidak bertanggungjawab mengeluarkan SPHM palsu dengan memalsukan kelulusan daripada Jakim dan Jabatan Agama Islam Perlis bagi mempromosikan produk kewangan mereka berasaskan wang Kripto termasuk Bitcoin dan Forex. – BebasNews

1 COMMENT

Leave a Reply