Oleh Nafsiah Jani

PENYANYI bergelar usahawan produk bukanlah perkara baru. Begitu juga dengan penyanyi dan pelakon popular, Datuk Jamal Abdillah, 62, yang kini memilih untuk menceburi bidang perniagaan kosmetik pula.

Jamal Abdillah memilih untuk menjadi rakan bisnes kepada Zahrah Rania Beauty Sdn. Bhd. memandangkan syarikat itu memiliki reputasi tinggi. Syarikat ini juga pernah mengeluarkan produk jenama Natasya yang mampu bertahan lebih daripada 10 tahun di pasaran.

Jamal Abdillah berkata, kerjasama itu tercetus apabila melihat hobi isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin yang gemar berhias dan bersolek setiap masa.

“Kini isteri saya hamil anak ketiga kami. Sebagai tanda kasih sayang dan penghargaan kepadanya membuatkan saya terpanggil untuk menjalinkan kerjasama dengan Zarania. Sebagai suami, saya akan membantunya untuk menjalankan perniagaan ini.

“Walaupun saya teruja dengan bisnes baharu ini namun saya akui perasaan bimbang itu tetap ada kerana ini pertama kali saya menceburi bidang perniagaan kosmetik.
“Saya percaya produk ini boleh pergi jauh. Mungkin ini permulaan kami dalam bidang ini. Kalau ada rezeki, kami akan keluarkan pelbagai produk kosmetik lain.”

Menurut Jamal, setakat ini sembilan jenis produk telah berada di pasaran. Produk-produk yang kami tawarkan adalah pada harga mampu milik, bermula serendah RM25 hingga RM49.

Sebagai penghargaan kepada lagu popularnya, set Azura turut diperkenalkan dengan menawarkan harga pakej lebih jimat di mana pembeli berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik.

“Keistimewaan produk Zarania ini apabila semua rangkaian produknya dihasilkan oleh kilang tempatan yang memiliki sijil bertauliah oleh Amalan Pengilangan Baik (GMP).

“Selain bahan kandungan dalam produk ini selamat digunakan, ia juga sesuai untuk semua peringkat umur. Kualitinya juga setanding produk-produk antarabangsa. Kalau hendak tahu apa lagi keistimewaan produk ini, cubalah dulu,” kata Jamal bapa kepada empat cahaya mata ini.

Jamal menambah, dia dan rakan kongsinya turut menyasarkan jualan bukan hanya dalam Malaysia tetapi juga di Brunei, Indonesia serta Singapura.

“Jika ada rezeki lagi, kami ingin mengeluarkan lebih banyak produk yang biasa digunakan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Kini golongan lelaki pun gemar memakai produk komestik. Mungkin lepas ini Zarania akan keluarkan produk kosmetik bagi kegunaan golongan lelaki pula,” katanya yang sebelum ini menjalankan bisnes ikan arowana di Perak.
Jamal turut meluahkan rasa syukur apabila rangkaian produk Zarania kini semakin menjadi pilihan pengguna yang boleh didapati secara atas talian di pasaran.

“Saya bersyukur, apabila sepanjang pandemik masih ramai yang membeli produk ini biarpun secara dalam talian. Ini juga antara strategi pemasaran syarikat untuk memberi fokus kepada jualan di atas talian,” katanya yang memberitahu maklumat lanjut boleh diperolehi laman sosial Facebook dan Instagram Zarania.

Jamal Abdillah mendirikan rumah tangga dengan Zai Izzati pada 1 April 2017 dan memperoleh cahaya mata perempuan, Nur Azura Yamani yang lahirkan pada 10 Oktober 2019 dan El Issac Yamani pada 11 November tahun lalu.

Kini Jamal juga berdebar-debar menanti kelahiran anak ketiganya pada tahun hadapan. Selain Azura dan El Issac, Jamal turut mempunyai dua lelaki iaitu, Osama Yamani, 20, dan Ahmad Zaki Yamani, 15, menerusi perkahwinan terdahulu.

-BebasNews
Please follow and like us:

Leave a Reply