OVIEDO, Sepanyol –Kerajaan Sepanyol akan mengharamkan iklan makanan ringan (junk food) yang menjadikan kanak-kanak sebagai sasaran mulai tahun depan bagi menangani masalah obesiti dalam kalangan muda.

Iklan produk seperti coklat, ‘snack bar’, pastri, ’cookies’, jus dan ais krim dan produk lain yang dianggap sebagai tidak sihat akan diharamkan tayangannya di media seperti televisyen dan juga Internet bagi mereka yang berusia di bawah 16 tahun, kata Kementerian Hal Ehwal Penggunanya.

“Terdapat masalah kesihatan yang serius berkaitan dengan makanan yang mempunyai kandungan garam, lemak dan gula,” kata kementerian itu dalam satu pengumuman melalui video, lapor Agensi Anadolu.

Sebelum ini, Portugal dan Norway telah menguatkuasakan peraturan yang sama dan dijangka bakal diikuti oleh United Kingdom.

Menurut Kementerian itu, sekitar 41 peratus kanak-kanak di Sepanyol berusia antara enam hingga sembilan kini berdepan dengan masalah obesiti atau memiliki berat badan yang berlebihan, menyamai kadar tertinggi di sesetengah negara dunia seperti Amerika Syarikat dan Mexico.

Apabila dikuat kuasakan kelak, iklan makanan ringan tidak lagi boleh disiarkan di TV negara itu pada waktu yang menjadi tontonan kanak-kanak.

Pengiklanannya juga diharamkan sepenuhnya di rangkaian TV kanak-kanak dan juga program yang popular dengan golongan muda.

Pengumuman Kerajaan itu mendapat bantahan Persekutuan Pengeluar Makanan dan Minuman Sepanyol dan menyalahkan kenaikan kadar obesiti disebabkan oleh gaya hidup yang tidak aktif. – BebasNews

Leave a Reply