Johor benarkan akad nikah di 91 masjid, 14 surau

Oleh Luqman Haziq Abdullah

JOHOR BAHRU – Sebanyak 91 masjid dan 14 surau dibenarkan menjadi lokasi majlis akad nikah mulai 7 November ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi.

Tosrin berkata, kebenaran yang mendapat perkenan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertujuan menjaga dan menghidupkan syiar dan syariah Islam di negeri ini.

Selain dewan masjid dan surau terpilih, beberapa lokasi lain turut dibenarkan menjadi lokasi majlis akad nikah seperti di Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Pejabat Kadi Daerah serta dewan dan balai raya.

“Pelaksanaan majlis akad nikah tersebut perlulah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Pekeliling berkenaan penganjuran majlis tersebut akan dikeluarkan dalam waktu terdekat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, program membudayakan al-Quran, kuliah Maulidur Rasul, kuliah umum, kuliah khas, kuliah dhuha, kuliah zohor dan kuliah Jumaat juga dibenarkan bermula hari ini dengan masa dihadkan hanya satu jam.

“Aktiviti lain yang turut dibenarkan termasuk majlis zikir, selawat, program wirid dan tarikat selain aktiviti kemasyarakatan lain seperti gotong-royong pembersihan kawasan masjid dan surau dibenarkan manakala aktiviti bermalam masih ditangguhkan,” ujarnya.

Beliau berkata, penceramah, ahli masjid atau surau serta jemaah hendaklah kepada mereka yang lengkap menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 sahaja.- BebasNews

Leave a Reply