KUALA LUMPUR – Kedatangan Islam ke alam Melayu sesungguhnya menyuntik dimensi baru kepada tatacara pemerintahan Raja Melayu, beralih daripada pemerintahan berpaksikan manusia kepada pemerintahan berpaksikan syariah.

Menurut Khutbah Jumaat yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Islam menegaskan dua perkara yang wajib diamalkan oleh Raja Pemerintah, iaitu adil dan muafakat.

“Islam menghapuskan fahaman lama yang menganggap raja sebagai ‘penjelmaan tuhan di bumi’, beralih kepada fahaman raja ialah bayangan Allah di muka bumi (zillullah fi al-Ard).

“Hubungan batiniah raja dengan para dewata ditinggalkan, di sebaliknya talian rohaniah dirangkaikan dengan Allah dan Rasul serta kekudusan para aulia dan para anbia,”katanya.

Khutbah Jumaat terbitan JAIP dengan tajuk “Raja Pemerintah; Payung Kedaulatan Negara” bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kali ke-65 hari ini.

Jelas khutbah itu, digambarkan oleh Raja Ali Haji dalam Tuhfat al Nafis, peranan utama raja pemerintah ialah menjunjung hukum Allah, bahawa krisis akan terjadi jika perintah Allah diingkari, dan apabila Raja memerintah dengan nafsu.

Oleh itu menurut khutbah itu lagi, pemerintahan Kesultanan Melayu sangat menekankan prinsip mematuhi suruhan agama, bermuafakat dengan para pembesar, memastikan keadilan, peka dan bertimbang rasa terhadap rakyat.

“Keunggulan sesebuah kerajaan bertitik tolak daripada kebijaksanaan raja memerintah dengan adil, selaras dengan waad atau perjanjian ikatan taat setia, raja dan rakyat, ‘raja adil – raja disembah’, yang dijadikan pedoman sepanjang tamadun berkerajaan dan bernegara di alam Melayu.

“Alhamdulillah kita dikurniakan seorang sultan berjiwa ilmuwan, yang menyempurnakan amanah pemerintahan dengan sifat-sifat insani, serta peka kepada rintihan rakyat dan berusaha memastikan berlakunya keadilan berlandaskan hukum,”katanya.

Dalam khutbah itu juga mendoakan, semoga kebijaksanaan pimpinan seorang Sultan, akan diperkukuhkan dengan nasihat barisan ulama yang tegas dan barisan umara yang ikhlas, akan diperlengkap dengan para peniaga yang jujur, akan didukung dengan ketaatsetiaan rakyat yang hidup harmoni, dan lebih utama akan dilimpahi cahaya petunjuk Ilahi.

Khutbah itu juga menjelaskan, semoga negeri Perak Darul Ridzuan di bawah Sultan
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah akan terbangun sebuah negeri yang mendapat keredaan Ilahi seperti yang digambarkan dalam ayat 15 Surah Saba’ , baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur, sebuah negeri yang baik (nyaman) dilimpahi keamanan, kemakmuran, kesejahteraan dan keberkatan.

Khutbah Jumaat 5 November 2021 – RAJA PEMERINTAH; PAYUNG KEDAULATAN NEGARA(RUMI)

BebasNews

Leave a Reply