Tan Sri J. J Raj (Jr)

SHAH ALAM – Bekas Ketua Polis Daerah Pagoh, Johor dan pernah mengetuai Skuad Harimau menyelamatkan warga Balai Polis Bukit Kepong yang diserang pengganas komunis sewaktu era darurat pada tahun 1950,Tan Sri J. J Raj (Jr) menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Ara Damansara di sini awal pagi tadi.

Mendiang yang juga bekas Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meninggal dunia pada usia 100 tahun.

Mendiang dilantik sebagai Pengarah Pengurusan, Bukit Aman pada tahun 1974 sebelum menjalani persaraan wajib pada tahun 1976 dengan pangkat Pesuruhjaya Polis.

PDRM menerusi satu kenyataan memaklumkan, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan seluruh warga PDRM menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang.

“Mendiang yang berumur 100 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pusat perubatan berkenaan kira-kira pukul 1.55 pagi akibat serangan jantung.

“Sesungguhnya jasa dan bakti yang pernah dicurahkan oleh mendiang sangat besar dan pemergiannya merupakan satu kehilangan besar kepada pasukan dan negara,” katanya.

Jasad mendiang akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Shah Alam untuk diberikan penghormatan terakhir oleh ahli keluarga dan orang ramai pada petang ini.

Mendiang meninggalkan empat orang anak serta tiga cucu, manakala isterinya, Puan Seri Irene Raj telah meninggal dunia pada tahun 2007.

Peristiwa Bukit Kepong bukan sahaja menjadi sejarah penting negara dalam menentang pengganas komunis.

Kisah perjuangan pihak PDRM tersebut turut diabadikan di layar perak oleh Tan Sri Jins Shamsuddin dalam filem Bukit Kepong pada tahun 1981. – BebasNews

Leave a Reply