Mohd. Haron Mohd. Sidik

KUALA LUMPUR – Persatuan Bas Sekolah Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL) merayu supaya Kerajaan memberikan bantuan khas RM1,500 sebulan bagi setiap bas sekolah pada bulan ini dan bulan depan.

Pengerusi PBSSPKL Mohd.Haron Mohd.Sidik berkata, bantuan ini akan membolehkan para pengusaha dapat membeli insurans, menjalani pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), membaik pulih bas, membayar gaji pemandu dan membeli minyak bas.

“PBSSPKL bimbang dengan hala tuju industri bas sekolah Malaysia.
Jika kerajaan tidak dapat membantu mereka kemungkinan industri ini akan gulung tikar.

“Sekolah dibuka secara bergilir-gilir bermula pada 8 November, tetapi jumlah penumpang yang menaiki bas sekolah tidak sampai 10 orang sahaja,”kata beliau dalam kenyataannya di sini hari ini (8 November).

Beliau berkata, kebimbangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana kes harian pandemik Covid-19 masih terlalu tinggi dan ramai murid yang belum mendapat dos kedua merencatkan operasi bas sekolah.

“Bilangan penumpang tidak sampai 10 orang sudah pasti pengusaha tidak dapat menampung kos operasi.

“Ini belum mengambilkira gaji pemandu, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan pinjaman balik bank atau syarikat kredit yang perlu dibayar,” kata beliau.

Sementara itu kata beliau, bas-bas sekolah perlu membuat pemeriksaan berkala di Puspakom yang meningkatkan kos operasi dan sebelum ke Puspakom, pengusaha perlu membeli insurans, cukai jalan, baik pulih bas-bas yang lama tersadai akibat perintah kawalan pergerakan.

“Para pengusaha juga tidak tahu sama ada berbaloi atau tidak untuk kembali beroperasi pada bulan November dan Disember ini.

“Ramai pengusaha mengeluh dan tidak mampu untuk beroperasi jika penumpang mereka tidak ramai. Malah untuk membeli minyak diesel atau petrol pun mereka tidak mampu,”tambah beliau lagi.- BebasNews

Leave a Reply