Muslim female student writing notes in notebook while using laptop
Photo by Keira Burton on Pexels

UMUM mengetahui bagaimana gejala sosial dan jenayah seperti penderaan, fitnah siber, bunuh diri, rasuah dan salah guna kuasa menjejaskan usaha pertumbuhan dan pengukuhan ekonomi sesebuah negara. Setiap Negara mempunyai sistem, undang-undang, peraturan dan SOP bagi mengekang salah laku dalam pengurusan pentadbiran Negara atau sesebuah institusi kerajaan, swasta dan persendirian. Walau bagaimanapun kes jenayah meningkat hari demi hari dan ia amat membimbangkan semua pihak. Kes berkaitan rasuah yang melibatkan kakitangan SPRM dan PPV bukan lagi rahsia apabila ia memenuhi ruangan tajuk-tajuk berita dan akhbar.

Pesalah kepada kes-kes jenayah seperti rasuah dan pecah amanah, pastinya bukan SOP atau sistem tetapi insan yang berakal mempunyai hati dan perasaan. Justeru solusi kepada kes jenayah dan gejala sosial perlu difokuskan kepada pembangunan insan sebagai aset sesebuah tamadun. Pemerkasaan aspek insaniah mampu memacu kemakmuran bersama dalam semua aspek kehidupan.

Ilmu Usuluddin yang mendidik umat Islam dari sudut rohani, emosi dan spiritual menyatakan dengan tegas tujuan kejadian manusia di muka bumi ini bukan semata-mata beribadat kepada Allah SWT tetapi turut memainkan peranan sebagai khalifah; agen pembangun bumi. Insan dijadikan hamba Allah SWT dan khalifah di muka bumi (Al-Zariyat: ayat 56).

Fungsi insan sebagai khalifah jelas melalui firman Allah SWT yang bermaksud: dan ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: sesungguhnya Aku menjadikan khalifah di muka bumi, mereka menjawab adakah Engkau menjadikan orang yang merosakkan bumi dan menumpahkan darah sebagai khalifah sedangkan kami bertasbih memujiMu dan mensucikanMu, lalu Allah berfirman sesungguhnya Aku lebih mengetahui apa yang kamu tidak ketahui (Al-Baqarah: 30).

Penciptaan insan sebagai hamba Allah dan khalifah merupakan suatu gandingan mantap dalam merealisasikan tujuan penciptaan yang seimbang dan kukuh dari pelbagai sudut terutamanya pembangunan emosi insan bagi memacu kemakmuran yang dikecapi bersama insan yang lain. Setiap insan diciptakan dengan perasaan hina dan rendah diri kerana kehambaannya di sisi Allah SWT, sebaliknya insan itu mulia di sisi masyarakat kerana fungsinya sebagai khalifah.

Khalifah bukan sekadar dilihat dalam erti kata yang khusus iaitu pemimpin sesebuah Negara dan masyarakat tetapi juga khalifah dalam konteks pembangunan diri insan itu sendiri. Kedua-dua aspek ini perlu dibangunkan dengan ilmu pengetahuan. Imam Sufyan al-Thauri ada berkata: barangsiapa yang maukan dunia, wajib menuntut ilmu dan barangsiapa yang maukan akhirat, wajib menuntut ilmu dan barangsiapa yang maukan kedua-duanya, wajib menuntut ilmu.

Secara analitikal khalif dengan pengertian “suatu jalan” merupakan suatu konsep pembangunan insan yang komprehensif. Pertama ia mengikat manusia dengan Tuhan yang menciptakannya dan kedua keterikatannya dengan manusia yang lain dalam membina suatu jalan dan disambung oleh insan yang mewarisinya. Semestinya jalan yang dibina atas bimbingan dan pedoman Ilahi bersumberkan al-Quran dan al-sunnah nabawiyyah.

Selain daripada dua fungsi penting tersebut, apa yang perlu difahami adalah kalimah insan terbina daripada kata kerja bahasa Arab “anisa” yang bermaksud jinak, ramah, teman, dan mesra. Sinonim kepada kalimah insan ini adalah “Nas” yang merupakan kata terbitan daripada kata kerja “nasiya” yang membawa erti lupa.

Manusia dinamakan manusia kerana sifat pelupanya. Selain daripada itu, kamus al-Wasit turut mendefinisikan insan sebagai makhluk yang hidup dan berfikir. Secara ironinya, sifat pelupa ini memerlukan peringatan sebagai penawar.

Justeru insan dalam konteks pembangunan Negara merupakan tenaga kerja yang perlu diberikan kursus berkala sebagai peringatan bagi meningkatkan kualiti dan integriti dalam pelaksanaan tugas dan tanggungjawab. Ia selari dengan Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka beri peringatan sekiranya ia memberi manfaat. (Al-A`la: Ayat 9)

Di samping itu, insan dijadikan Allah SWT makhluk yang keluh kesah. Ia dinyatakan dalam Al-Qur’an yang bermaksud: sesungguhnya insan dijadikan keluh kesah (Al-Ma`arij: Ayat 19). Sifat semula jadi insan ini jika dibiarkan kekal begitu ia bakal mengganggunya dari berfungsi dengan baik dan bertanggungjawab. Sebaliknya jika tidak ditangani dengan bijak ia turut mengundang kemusnahan sistem kehidupan yang harmoni dan teratur.

Justeru, Islam menganjurkan solusi di mana sifat keluh kesah ini perlu ditenangkan dengan zikir mengingati Allah SWT sebagai santapan rohani agar kembali tenang dan mampu melaksanakan tugas-tugas serta amanat sebagai khalifah di bumi.

Anjuran ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: sesungguhnya orang-orang yang beriman dan tenang hati mereka dengan mengingati Allah SWT, ketahuilah bahawa dengan zikir nama Allah itu boleh menenangkan hati (Al-Ra`d: ayat 28).

Secara saintifik, pembentukan insan di alam rahim amat jelas terbina daripada kejayaan proses persenyawaan. Justeru, atas sifat semulajadinya itu insan dilahirkan sebagai pemenang dan berusaha gigih meraih kejayaan dalam apa jua yang dilakukan dalam kehidupannya demi kelangsungannya sebagai khalifah di muka bumi ini. Pengukuhan sifat semulajadi insan yang cemerlang ini dilestarikan melalui seruan azan yang melaungkan hayya ala alsolah (Mari solat), Hayya ala al-falah (Mari menuju kejayaan)

Seruan azan juga menyeru ke arah kejayaan serta kecemerlangan dan mengingatkan insan akan sifat semulajadi tersebut. Pembentukan insan cemerlang perlu peringatan berterusan melalui azan sebanyak lima kali sehari agar terus bersemangat. Apabila insan sedar dan ingat asal-usulnya sebagai pemenang, pasti terjamin kelestarian kualiti dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

Ilmu Usuluddin sentiasa menawarkan solusi bagi setiap isu berkaitan akhlak, moral dan etika yang menjadi kudis dalam keharmonian sistem kehidupan manusia. Sifat-sifat mazmumah seperti pecah amanah, rasuah, penipuan, penderaan dan buli perlu diganti dengan sifat-sifat mahmudah seperti jujur, amanah, bijak, adil dan saksama serta saling menghormati hak orang lain. Pemantapan rohani, emosi dan spiritual akan memacu keharmonian dan kemakmuran seluruh masyarakat, negara dan dunia. – BebasNews

 

Leave a Reply