Solat berjemaah di dalam masjid Baabul Munawwar, Papua.--Kredit Islamik Media.

DI MANA juga umat islam berada, syiar Islam mesti dipelihara. Masjid sebagai lambang syiar Islam mesti ada di mana umat Islam berada kerana ia adalah lambang kebesaran Islam dan tempat umatnya mengabadikan diri kepada Allah.

Namun pernahkah anda terfikir mengenai wujudnya masjid di dalam perut bumi? Anda biasa menyaksikan masjid terapung, tetapi masjid di dalam tanah adalah sesuatu yang tidak pernah menerjah minda kita.

Tetapi Masjid Baabul Munawwar, Indonesia, menjadi bukti kepada hakikat ini. Masjid ini bukan terkenal kerana keindahan seni binanya atau besar dan luas bangunannya, tetapi istimewanya ia kerana kedudukannya yang terletak 1.77 kilometer di bawah tanah.

Inilah masjid paling dalam di Indonesia, malah satu-satunya masjid di dunia yang berada di dalam perut bumi. Justeru masjid yang terletak di Kota Timika, kawasan PT Freeport Papua, Indonesia ini bukan sahaja menjadi kebanggan Papua tetapi seluruh Indonesia.

Suasana dalam Masjid Baabul Munawwarah ketika laungan Azan dan jemaah menunggu untuk bersolat jemaah.–Kredit Islamik Media.

Memetik Kumparam Travel, masjid unik dibina untuk keperluan para pekerja PT Freeport mengerjakan ibadah, terutama sembahyang, tanpa perlu naik ke permukaan bumi. Masjid ini dirasmikan pada 2016.

Kerana kedudukannya jauh di bawah tanah, masjid ini tidaklah diserikan dengan kubah atau dome. Namun ia dilengkapi dengan aspek keselamatan, seperti alat berteknologi canggih untuk memastikan peredaran udara berjalan lancar. Ini untuk memastikan udara segar sentiasa berlegar dan udara kotor disedut ke luar bangunan.

Menurut Islamik Media, Masjid Baabul Munawwar atau ‘pintu tempat cahaya’, ialah tempat pekerja PT Freeport yang beragama Islam mengerjakan solat fardu, solat Jumaat, berbuka puasa dan solat tarawih pada bulan Ramadan. Masjid ini boleh memuatkan sehingga 250 orang jemaah pada satu-satu masa.

Untuk latar belakang, PT Freeport ialah pengendali lombong yang mengeluarkan hasil tembaga, emas dan perak terbesar di Tembagapura, Papua. Kewujudan Masjid Baabul Munawwarah sangat bermakna untuk pekerja Islam menjalani ibadat dalam persekitaran selesa.

Dengan kedudukannya yang begitu dalam di perut bumi, masjid ini sangat berguna bagi para pekerja bahagian operasi lombong bawah tanah. Mereka termasuklah mekanik, operator pembinaan, elektrik dan peralatan (instruments).

Pemilik PT Freeport juga amat prihatin dengan para pekerja Islamnya di mana mereka diberi kelonggaran mengerjakan ibadah apabila tiba waktunya.

Masjid Baabul Munawwar di PT Freeport, Papua, Indonesia.–Kredit Twitter

Begitu juga pada bulan puasa, setiap pekerja yang beragama Islam akan didaftar supaya apabila tiba masa untuk berbuka puasa mereka akan diberi kelonggaran berhenti kerja untuk berbuka puasa. Sebelah malamnya pula menunaikan solat tarawih.

Masjid Baabul Munawwar memang unik dengan hiasan dindingnya ialah perut bumi, diserikan dengan lampu-lampu gantung yang menerangi keseluruhan ruang masjid.
Strutkur teknikal masjid ini dikendalikan oleh Andrew Parhusip, lulusan Institu Teknologi Bandung (ITB).

Arkiteknya pula ialah Alexander Mone, lulusan Universiti Bina Nusantara. – BebasNews

Leave a Reply