MyJet memberi sumbangan RM47,000 kepada petugas barisan hadapan dan anak-anak yatim dari Madrasah Waqaf Islamiah Sabah.

KOTA KINABALU – Mulai bulan Disember ini, syarikat penerbangan kargo tempatan, MyJet Express Airlines Sdn. Bhd., akan membawa masuk dua pesawat kargo baharu ke dalam negara secara berperingkat-peringkat.

Penambahan dua pesawat tersebut bagi memantapkan lagi operasinya selaras dengan permintaan semasa yang semakin melonjak.

Pengerusi Eksekutifnya, Mohamed Yunos Mohamed Ishak berkata, dua pesawat kargo yang bakal ditambahkan adalah jenis Boeing 737-300F dan Boeing 737-800F dengan pelaburan sebanyak RM100 juta, sekali gus membawa jumlah keseluruhan untuk operasi tempatan sebanyak enam buah pesawat.

“Kami akan menambah dua pesawat baharu untuk operasi di Malaysia, sebuah pesawat bagi operasi di Filipina dan dua pesawat lagi di Indonesia.

“Berdepan dengan lonjakan permintaan semasa, kami bakal menambah lebih kurang empat perjalanan baharu ke Shandong, Wuhan, Xiamen dan Shenzen. Seterusnya dari Kuala Lumpur ke India,” kata beliau.

Mohamed Yunos berkata demikian dalam sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, sempena meraikan pencapaian kerjasama antara MyJet Express dan KLN serta sambutan penerbangan ke-200 antara Kota Kinabalu, Sabah dan Macau.

Dari kiri, Azrul Hisham Abdul Wahab, Mohamed Yunos Mohamed Ishak dan Alan Ang.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MyJet Express, Azrul Hisham Datuk Abdul Wahab, Pengarah KLN Malaysia, Alan Ng dan Pengarah Urusan KLN (Kerry Logistics Network), Mathieu Biron, secara maya.

Tambah Mohamed Yunos, usaha sama dari dua cabang pengangkutan awam dan darat itu kini mencapai lebih 200 penerbangan antara Kota Kinabalu, Sabah dan Macau sejak dilancarkan awal bulan Mac lalu.

Mohamed Yunos (kanan), Abidin (tengah) dan Alan ketika melakukan simbolik kerjasama ketika majlis tersebut.

“MyJet Express akan terus menumpukan kepada kegiatan penerbangan kargo daripada luar negara dan KLN akan berfungsi dalam penerimaan dan membuat penghantaran kepada pelanggan.

” MyJet Express amat berpuas hati dengan rakan kongsi kami,” katanya yang berharap dapat mengembangkan serta menyokong pasaran perkhidmatan berjadual dari Kuala Lumpur dan Shenzehen ke destinasi lain di Asia Tenggara dan benua kecil India,” jelasnya.

Pada majlis yang sama MyJet memberi sumbangan sebanyak RM47,000 kepada petugas barisan hadapan dan anak-anak yatim dari Madrasah Waqaf Islamiah Sabah. – BebasNews

Leave a Reply