JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terus menjadi ‘mangsa’ berita palsu dalam media sosial.

Terbaharu, sekali lagi sebuah poster yang memaparkan gambar baginda digunakan untuk mengelirukan rakyat, khususnya pengundi dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang sedang berlangsung kini.

Namun, Sultan Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa baginda tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti yang tular dalam media sosial dan poster tersebut adalah palsu.

“Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) sebelum ini sudah membuat laporan polis berhubung penyebaran kenyataan palsu ini,” titah baginda menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook baginda, hari ini.

Poster yang tular itu memaparkan gambar Sultan Ibrahim dengan kenyataan ringkas seolah-olah baginda mahu UMNO berhenti memperdaya rakyat dengan tipu helah.

Sultan Ibrahim bertitah bahawa segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan baginda ataupun Keluarga DiRaja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office. – BebasNews

Leave a Reply