MEJAR MOHD. FAREEZ

KUALA LUMPUR – Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Mohd. Fareez Omar yang cedera dalam nahas pesawat Hawk 108 terhempas di Pangkalan Udara Butterworth, Selasa lepas kini stabil dan dalam proses pemulihan daripada kecederaan yang dialami dalam insiden berkenaan.

Mohd. Fareez, 33, yang cedera di bahagian pinggang dan tulang belakang selamat menjalani pembedahan pada malam Rabu.

Menurut bapanya, Omar Deros, 62, pembedahan ke atas anaknya itu mengambil masa selama 4 jam bermula daripada pukul 7.30 malam di Hospital Seberang Jaya (HSJ) .

“Alhamdulillah, Fareez (Mohd Fareez) selamat menjalani pembedahan malam tadi dan menurut pihak TUDM, sekarang ini dia ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSJ untuk pemerhatian rapi pasukan doktor.

“Tengah hari semalam saya berpeluang berjumpa Fareez di ICU dan dia dalam keadaan stabil namun masih lemah. Kami sempat berbual dan dia maklumkan sakit di bahagian pinggang dan belakang namun dia okey,” katanya.

Omar yang tinggal di Selangor berkata beliau akan berada di rumah Mohd. Fareez di kuarters TUDM di sini sehingga anaknya sihat dan dibenarkan pulang ke rumah selain membantu isteri Mohd Fareez menjaga dua anak mereka.

Ditanya sama ada Mohd. Fareez telah mengetahui tentang Allahyarham Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, yang  terkorban dalam kejadian itu, Omar berkata, beliau langsung tidak berbual mengenainya ketika berjumpa dengan anaknya semalam.

“Setakat ini kami memang tidak maklumkan kerana dia masih dalam keadaan sakit, mungkin tunggu dia sihat sedikit baru kita beritahu Fareez kerana bimbang kesihatannya,” katanya.

Dalam kejadian pada 10.07 malam itu, kedua-dua juruterbang berkenaan sedang menjalani latihan penerbangan di kawasan landasan Pangkalan Udara Butterwoth. – BebasNews

Leave a Reply