KUALA LUMPUR (UPDATE) – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menolak tawaran pemberian tanah kediaman secara percuma daripada kerajaan walaupun beliau layak menerimanya mengikut Akta Ahli Parlimen Saraan 1980 pindaan 2003.

“Saya buat keputusan untuk menolak tawaran tersebut walaupun secara dasarnya ada kelayakan untuk bekas PM,” kata beliau dalam satu sidang media di Melaka.

Najib berkata, beliau juga tidak mahu isu berkenaan menjadi beban pada pilihan raya negeri Melaka esok.

Sambil mendakwa beliau memahami rakyat berdepan dengan kesukaran dan mereka perlu diutamakan, bekas Perdana Menteri itu telah mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri menarik semula tawaran itu.

Keputusan kerajaan untuk memberikan tanah dan juga kediaman bernilai RM100 juta di atas tanah seluas 2.8 ekar telah mendapat kecaman banyak pihak terutama pemimpin parti pembangkang.

Sebelum ini, FMT memetik sumber, beberapa menteri dalam Kabinet Ismail Sabri juga dilapor membantah keputusan tersebut.

Ini termasuklah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga timbalan presiden PAS serta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Semalam Tengku Zafrul digasak hebat di Dewan Rakyat selepas mengesahkan pemberian tersebut.

BebasNews minggu lalu melaporkan Najib didakwa memohon keistimewaan daripada kerajaan berupa kediaman mewah bernilai RM100 juta di atas tanah seluas 2.8 ekar dua tahun lalu.

Permohonan kepada Jabatan Perdana Menteri itu dibuat berdasarkan kelebihan keistimewaan dan beberapa elaun yang membolehkan bekas perdana menteri memiliki hartanah milik kerajaan.

Sebelum ini Najib yang mengesahkan permohonan tersebut di Facebook turut menempelak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membangkitkan perkara berkenaan di Dewan Rakyat semalam.

Ahli Parlimen Pekan itu memberitahu, beliau hanya menyewa sebuah banglo untuk menempatkan pejabatnya.

“Malah pejabat bekas perdana Menteri saya cuma satu banglo disewa di Bukit Pantai. Bukan kompleks besar macam perdana leadership foundation Mahathir.

“Anak-anak saya pun bukan bilionair macam anak-anak dia,” tegas Najib sambil menambah berita mengenai permohonannya itu sengaja diterbitkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Mahathir membangkitkan perkara tersebut ketika mencelah ucapan Tengku Zafrul dalam perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat.

“Saya sendiri masa jadi PM (perdana menteri) 22 tahun tak ambil satu keping tanah pun. Cuma pencen saya sahaja.

“Tapi ini buat kerja sekian lama, curi duit, seleweng duit, salah guna duit, salah guna kuasa, dapat hadiah RM100 juta,” katanya.- BebasNews

Leave a Reply