Oleh Nor Ain Aqilah Hisham, Muhammad Aisar Aznal dan Prof. Madya Dr. Nirmala Bhoo-Pathy

 

SETIAP tahun, Hari Lelaki Sedunia disambut pada tanggal 19 November. Bulan November merupakan bulan kesedaran kesihatan lelaki sedunia – juga dikenali sebagai Movember. Namun tidak ramai yang mengetahui akan kewujudan kempen kesedaran kesihatan lelaki ini. Malaysia mula menyambut hari istimewa ini sejak tahun 2016. Movember diwujudkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan lelaki, meraikan peranan positif kaum lelaki dalam kalangan masyarakat serta meningkatkan kesedaran tentang kesejahteraan dan kebajikan kaum lelaki. Tema Hari Lelaki Sedunia pada tahun ini adalah “hubungan yang lebih baik antara gender yang mengetengahkan kesaksamaan gender. Sejajar dengan tema ini, isu kesihatan kaum lelaki perlu diambil perhatian seiring dengan isu kesihatan kaum wanita. Seperti kaum wanita, lelaki juga tidak terlepas daripada pelbagai isu kesihatan termasuklah derita kanser.

Mengikut kajian yang dijalankan oleh Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, kanser dan rawatannya didapati memberikan impak yang mendalam terhadap kesihatan seksual pesakit kanser. Rata-rata, pesakit di bawah kajian ini mengaitkan kekurangan aktiviti seksual mereka sebagai kesan sampingan daripada rawatan kanser. Selain itu, tekanan emosi berikutan diagnosa dan rawatan kanser juga didapati menyumbang kepada kemerosotan hubungan seksual bersama pasangan.

Lazimnya, bukan semua lelaki yang menjalani rawatan kanser berpotensi menghadapi masalah berkaitan kesihatan seksual. Terdapat beberapa faktor yang menentukan sama ada seseorang lelaki yang sedang menerima rawatan kanser akan berdepan dengan masalah kesihatan seksual. Faktor-faktor tersebut adalah jenis kanser, jenis rawatan kanser, dos yang digunakan untuk rawatan tersebut, tempoh rawatan kanser dijalankan, umur ketika menjalani rawatan, tempoh setelah rawatan berakhir dan masalah kesihatan lain seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan merokok.

Kebanyakan masalah kesihatan seksual yang dihadapi oleh lelaki yang menjalani rawatan kanser adalah bersifat sementara dan ianya akan beransur pulih selepas rawatan berakhir. Contohnya, ketika dalam tempoh rawatan, kemoterapi boleh menurunkan kadar hormon testosteron dan keinginan seksual seseorang buat sementara waktu. Namun, terdapat juga rawatan yang memberi kesan jangkamasa panjang pada kesihatan seksual lelaki; Radioterapi bim luaran di bahagian pelvis atau brakiterapi (radioterapi bim dalaman) juga boleh memberikan kesan kepada fungsi seksual lelaki. Sekiranya saluran darah atau saraf cedera, ia boleh menyebabkan kesukaran untuk memulakan atau mengekalkan ketegangan zakar (ereksi) yang dipanggil sebagai mati pucuk atau disfungsi erektil. Pembedahan juga berkemungkinan menyebabkan kecederaan kepada saraf. .Selain itu, terapi hormon juga boleh mengurangkan paras hormon testosteron dan keinginan seksual serta kesukaran memulakan atau mengekalkan ereksi.

Namun, permasalahan di atas bukanlah tanpa penyelesaian. Terdapat ubat dan pembedahan yang boleh ditawarkan kepada pesakit bagi mengatasi masalah seksual sekiranya diperlukan. . Ini termasuklah, ubat yang mampu meningkatkan pengedaran darah ke dalam zakar dan implan zakar yang mampu dibentuk ataupun dikembung bagi mencapai dan mengekalkan ereksi. Oleh itu, adalah amat penting bagi seorang pesakit untuk berunding dengan pakar perubatan supaya lebih maklum dengan pilihan rawatan kanser. Pesakit juga digalakkan supaya berunding tentang kesan sampingan yang dialami semasa menjalani rawatan seperti kesakitan, kelesuan, gangguan emosi, kesukaran tidur malam, keguguran rambut dan kesan sampingan yang lain yang mampu memberi impak negatif pada fungsi seksual lelaki. Tidak dilupakan juga, penjagaan aspek emosi pesakit perlu diberi perhatian semasa menjalani rawatan. Disamping berkongsi tentang perasaan ataupun kegusaran bersama yang tersayang, pesakit juga disarankan untuk menyertai kumpulan sokongan ataupun forum atas talian bagi pesakit kanser untuk mendapatkan sokongan emosi dan mengelakkan diri daripada merasa terpinggir semasa menjalani rawatan kanser.

Sesetengah pesakit juga mungkin merasa agak kekok ketika berkomunikasi bersama doktor tentang masalah kesihatan seksual.Namun secara amnya, pesakit kanser memang berhak untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kesan sampingan rawatan kanser yang berkait rapat dengan kesihatan seksual mereka. Di sini, adalah disarankan agar pesakit menyenaraikan persoalan yang hendak ditanya kepada doktor terlebih dahulu. Antara soalan yang boleh diajukan adalah, “Apakah masalah seksual yang biasa dialami pesakit yang menjalani rawatan kanser?”, “Apakah masalah yang mungkin saya hadapi semasa mejalani rawatan?”, “Berapa lamakah masalah ini akan berlangsung? Adakah ianya akan kekal?”, “Bagaimana boleh saya cegah atau rawat masalah yang saya hadapi?”, “Ada apa-apa langkah berjaga-jaga yang boleh saya ambil semasa menjalani rawatan?”, “Ada apa-apa cadangan untuk kumpulan sokongan yang boleh saya sertai?” dan “Ada mana-mana pakar perubatan bidang lain yang boleh saya jumpa untuk berbincang secara lebih mendalam untuk permasalahan saya?”.

Bersempena Movember ini , kita hendaklah mengambil peluang untuk meningkatkan kesedaran tentang kesihatan kaum lelaki bukan sahaja dari segi fizikal malahan juga dari segi kesihatan mental. Kanser mampu menjejaskan kualiti hidup seseorang dalam pelbagai cara bukan sahaja daripada kanser itu sendiri, malahan rawatannya juga memberikan impak terhadap penerimanya termasuklah kesannya kepada kesihatan seksual. Komunikasi yang mapan adalah kunci utama dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi pesakit. Komunikasi antara pesakit dan pengamal perubatan adalah langkah pertama dalam mengenalpasti isu yang dihadapi pesakit dan mencari penyelesaian.

Tidak dilupakan juga, komunikasi antara pasangan juga perlu dititikberatkan supaya pesakit tidak merasa seperti tersisih dalam menghadapi cabaran seperti kanser. Penerimaan oleh pesakit dan pasangannya memainkan peranan yang penting dalam proses rawatan dan pemulihan. Dengan penerimaan dan pemahaman kedua-dua pasangan, rawatan dan juga pencarian alternatif untuk mengekalkan keintiman antara pasangan boleh diusahakan.

Semoga Movember ini memberi harapan baru kepada semua lelaki.

Nirmala Bhoo-Pathy

Muhammad Aisar Aznal

Nor Ain Aqilah Hisham

Nor Ain Aqilah Hisham dan Muhammad Aisar Aznal adalah pelajar perubatan, manakala Prof. Madya Dr. Nirmala Bhoo-Pathy adalah Profesor Madya di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya. Penulis boleh dihubungi di [email protected]

BebasNews

Leave a Reply