BERBEZA bangsa dan agama bukanlah penghalang kepada dua sahabat, Mushtari Mohamad dan Wong Kooi Kam berkongsi minat yang sama terhadap karakter fiksyen ejen perisikan terkenal dunia, James Bond.

Kedua-dua peminat filem James Bond sanggup berhabis ribuan ringgit untuk memiliki pelbagai memorabilia James Bond yang cukup dikenali dengan nombor kod 007 di mana koleksi mereka tidak hanya terhad kepada cakera padat digital (DVD) filem James Bond daripada judul pertama ‘Dr No’ pada 1962 lakonan pelakon legenda, mendiang Sean Connery hinggalah judul ke-24, ‘Spectre’ lakonan pelakon Daniel Craig yang ditayangkan pada 2015, sebaliknya pelbagai koleksi lain seperti majalah James Bond, model kereta dan koleksi piring hitam runut bunyi James Bond.

Mushtari, 49, yang bekerja sebagai ejen insuran di Kangar berkata, minatnya terhadap karakter James Bond bermula pada 1981 selepas menyaksikan filem James Bond ke-12 ‘For Your Eyes Only’ lakonan mendiang Roger Moore.

“Ketika era 80-an, bapa saya banyak membeli atau menyewa pita video James Bond dan dari situlah saya ikut sama menonton di rumah bersama bapa saya dan sekitar 1985, saya berpeluang menonton filem James Bond berjudul ‘A View To Kill’ lakonan Roger Moore di panggung wayang Kapitol di Kangar bersama bapa saya.

“Melihat karakter Roger Moore yang begitu bersahaja serta gaya lenggok bahasa yang agak menarik menyebabkan saya ingin mengenali lebih mendalam watak James Bond ini dengan cuba mendapatkan memorabilia berkaitan filem James Bond ini,” katanya ketika ditemui di Galeri Seni Piring Hitam, Taman Sena Indah, di sini.

Bermula dari situ, Mushtari mula mengumpul memorabilia James Bonda seperti album piring hitam runut bunyi filem James Bonda sebelum diteruskan kepada model kereta yang digunakan oleh ejen perisik berkenaan.
“Jika dilihat pada model kereta yang digunakan oleh James Bond dalam filem, ia banyak menggunakan kereta jenis Aston Martin keluaran United Kingdom dan koleksi model kereta James Bond ini banyak saya beli atau perolehi apabila membeli majalah yang sering disertakan percuma dengan replika model kereta dari filem berkenaan.

“Selain itu juga, stesen minyak terpilih juga ada menjual koleksi model kereta James Bond ini dan saya sentiasa akan mencari untuk membelinya bagi menambahkan lagi koleksi.

“Selain itu juga, saya juga mempunyai pelbagai cakera padat digital (DVD) termasuk koleksi ‘Box Set’ yang mempunyai keluaran filem James Bond dari Dr No (1962) hingga Skyfall (2015) yang berharga RM500 selain bekas DVD (steel book casing) yang dibeli dengan harga RM300,” katanya.

Dia berkata, terdapat lebih 300 memorabilia James Bond yang dianggarkan mencecah RM25,000 dalam simpanannya dan dia pernah ditawarkan oleh seseorang untuk membeli koleksinya seperti DVD ‘Box Set’ miliknya itu dengan harga yang mencecah RM700 hingga ke RM800 namun dia tidak menjual meskipun ditawarkan dengan harga tinggi.

“Dalam banyak filem James Bond, saya sangat meminati filem James Bond yang ke 13 dan 14 iaitu Octopussy (1983) dan A View To Kill (1985).

“Sudah tentulah pelakon legenda mendiang Roger Moore menjadi pelakon kegemaran saya memegang watak James Bond selain pelakon Perancis Carole Bouquet sebagai watak ‘Gadis Bond’ pilihan saya,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Kooi Kam, 61, atau lebih dikenali sebagai Kim Wong turut mempunyai koleksi James Bond yang lebih kurang sama seperti Mushtari namun dia lebih suka menumpukan kepada replika model kereta James Bond terutama dari model Aston Martin.

“Saya lebih suka mendapatkan set replika model kereta James Bond seperti Aston Martin yang perlu dibina sendiri kerana saya suka menyusun dan membina kenderaan itu sendiri,” katanya.

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2021/11/889580/dua-sahabat-fanatik-james-bond

Leave a Reply