kids, child, children
Photo by saifulmulia on Pixabay

SESEBUAH negara, institusi dan organisasi mendambakan ahli, kakitangan, rakyat dan pemimpin yang amanah, jujur, bijaksana, matang, berintegriti, berkaliber dan berpuluh-puluh lagi kualiti jika mampu disenaraikan di sini. Malah rakyat turut mementingkan kualiti diri yang mantap, bersih dan bebas rasuah dalam pemilihan pemimpin setiap kali musim pilihanraya.

Namun kekecewaan demi kekecewaan menjelma seolah-olah belenggu kebejatan sosial seperti rasuah masih menjerat kehidupan masyarakat. Hari demi hari berita rasuah disajikan dalam media sosial. Dulu dan kini ia realiti bukan mimpi yang bertepi. Segelintir individu di pelbagai peringkat bersikap mengenepikan integriti, justeru rasuah dirai. Masalah ini telah menjadi kudis yang perlu dirawat rapi sebelum membarah dalam masyarakat madani.

Ironinya pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan dan NGO bagi membanteras rasuah. Kempen menggunakan slogan-slogan bagi kesedaran minda, pertandingan dan seminar dianjurkan bagi memahamkan kelompok-kelompok tertentu bahaya dan keburukan rasuah serta implikasi kepada pembangunan Negara. Malah ada dalam kalangan ahli politik turut mengecam rasuah, malangnya ia seperti mencurah air di daun keladi. Kenapa ini terjadi?

Punca perlu digali dan solusi global dicari tanpa menafikan latar belakang pendidikan, bangsa, etnik, agama, status ekonomi dan kewarganegaraan. Masyarakat Malaysia kini berada di ambang era Dasar Revolusi Perindustrian 4.0 dan cabaran utama adalah pembentukan generasi celik teknologi yang sifar rasuah.

Pendidikan generasi 4.0 IR sejak dari kecil perlu ditanam dengan etika, adab, akhlak dan nilai-nilai murni sehingga ia sebati dalam jiwa. Rentetan daripada itu, terhasil insan yang berhati kental dan memiliki jatidiri mampan. Bak kata pepatah melentur buluh biar dari rebung. Cabaran rasuah yang menggugat pembesaran dan pertumbuhan jiwa serta minda anak-anak yang naïf wajar diteliti dan dinyahaktif. Justeru, pengukuhan jatidiri secara berkala perlu digiatkan agar tumbuh generasi 4.0 IR yang membenci dan menjauhi rasuah.

Ibubapa, guru pendidik, pensyarah, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi perlu memandang lebih serius isu rasuah dan berganding bahu dalam pembentukan generasi 4.0 IR sifar rasuah.

Unsur-unsur dan bibit-bibit rasuah diperhatikan dalam pelbagai peringkat pendidikan anak-anak. Larangan rasuah bukan sekadar dimasukkan dalam peraturan dan tatacara pendidikan, malah diambil tindakan tegas tanpa kompromi ke atas pemberi dan penerima rasuah.

Persoalannya siapa yang akan mengambil tindakan ke atas ibubapa yang merasuah anak-anak? Bagaimana mungkin ibubapa merasuah anak-anak? Persoalan ini boleh mengundang kemarahan ramai ibubapa jika dibaca dengan emosi namun ia diharapkan agar ibubapa semak dan imbang segala tindakan dan perbuatan yang berbaur rasuah dalam kegigihan mendidik dan membesarkan anak-anak menjadi insan yang berjaya dunia dan akhirat.

Bibit-bibit rasuah yang diamalkan dalam pendidikan di pelbagai peringkat perlu dihentikan tanpa nada berhelah. Garis pemisah antara upah, gaji, ganjaran, hadiah dan rasuah perlu jelas bukan waswas. Nama rasuah boleh diubah dengan pelbagai nama bagi mengaburi mata masyarakat seperti hadiah, saguhati, tip, duit kopi dan lain-lain tetapi rasuah tetap rasuah. Kesamaran istilah bukan masalah jika generasi celik rasuah.

Peranan institusi keluarga dan institusi pendidikan penting di peringkat akar umbi dalam usaha memerangi rasuah yang merupakan faktor penghalang kepada pembentukan Negara yang bersih rasuah dan berintegriti tinggi.

Contoh-contoh pemberi dan penerima rasuah yang dicanang sering tertumpu kepada dunia politik, pengurusan dan pentadbiran Negara kerana kes yang dilaporkan melibatkan golongan tersebut.

Walau bagaimanapun, sesekali perlu menoleh kepada institusi keluarga dan pendidikan yang mengasuh emosi, intelek, nilai, etika, adab dan jatidiri pekerja serta pemimpin pada hari ini dan masa depan.

Penekanan isu rasuah dan kempen anti rasuah perlu menyeluruh bukan sekadar dalam kalangan kakitangan kerajaan maupun swasta, pegawai keselamatan, kastam dan imigresen sahaja malah pelancong-pelancong, pelabur luar dan ahli-ahli perniagaan antarabangsa.

Sudah tiba masanya kempen anti rasuah dijalankan sebaris dengan anti dadah, anti pemerdagangan manusia dalam menyambut kedatangan pelancong luar Negara ke Malaysia melalui udara, darat maupun laut.

Semoga capaian kecanggihan teknologi yang dinikmati bersama dimanfaatkan untuk kemajuan diri, masyarakat, Negara dan dunia tidak dicacatkan dengan amalan rasuah. Pembentukan generasi 4.0IR sifar rasuah pasti berjaya dengan pengemblengan usaha semua peringkat individu, masyarakat, Negara dan dunia bagai aur dengan tebing saling mendokong dan menyokong.

*Penulis merupakan Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya

BebasNews

Leave a Reply