PETALING JAYA – Ketidakhadiran Abd Rauf Yusoh pada majlis angkat sumpah ketua menteri subuh hari ini mencetuskan pelbagai spekulasi namun ia bukan bermakna kerajaan negeri Barisan Nasional pimpinan Sulaiman Md Ali dalam sebarang krisis.

Sumber BN memberitahu FMT, gabungan itu sedar akan rasa tidak puas hati Rauf tetapi menegaskan “semuanya terkawal”.

Terdahulu, The Star melaporkan Rauf cuba melobi sokongan pemimpin tertentu termasuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan penasihat BN Najib Razak untuk dilantik Ketua Menteri.

Rauf dipetik berkata terpulang kepada Umno untuk menjelaskan kenapa beliau tidak hadir pada majlis angkat sumpah itu.

Rauf dikatakan akan mengadakan sidang media pada 9 malam ini namun tidak diketahui apa yang bakal diperinci oleh bekas Speaker DUN Melaka itu.

Sumber BN menolak spekulasi Melaka mungkin dilanda krisis sekali lagi berdasarkan perkembangan semasa itu.

“Menang benar (Rauf tidak berpuas hati). Tetapi keadaan terkawal,” kata sumber berkenaan.

Manakala sumber satu lagi menegaskan sebarang rasa tidak puas hati Rauf bukan ancaman atau membawa sebarang risiko kepada kerajaan negeri pimpinan Sulaiman.

Beliau berkata semua ADUN BN komited memastikan kestabilan politik Melaka susulan PRN semalam.

“Rakyat sudah letih (dengan kerenah politik berlebihan). Semua ADUN BN sedar rakyat amat serik dengan politik keterlaluan dan mahu menutup bab berkenaan,” kata sumber itu.

“Semua ADUN kami mahu memastikan mereka terus turun padang dan berkhidmat untuk rakyat, tanpa membazir masa,” kata sumber itu.

“Mereka tidak akan mengheret Melaka melalui satu lagi krisis,” katanya.

Semalam, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN negeri itu, sekali gus menubuhkan kerajan negeri dengan majoriti dua pertiga.

Sulaiman diangkat sebagai calon tunggal KM oleh BN dari awal lagi, berdasarkan prestasinya menerajui negeri itu sebelum PRN itu diadakan.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/11/21/kerajaan-bn-melaka-utuh-isu-rauf-terkawal-kata-sumber/

Leave a Reply