Puteri Aishah bersyukur kerana majlis yang diatur berjalan lancar selepas beberapa kali tertunda. Foto kredit: CST Production

PENANTIAN pelakon jelita, Puteri Aishah 27, untuk bergelar isteri akhirnya terlaksana hari ini dengan sekali lafaz sahaja kepada pasangannya, Muhammad Firdaus, 28.

Pasangan tersebut dinikahkan oleh kadi, Ustaz Mohd. Abdul Nasir Abdullah dengan disaksikan bapa Puteri, Sulaiman Abd. Rahman, pada kira-kira pukul 11.15 pagi hari ini, 21 November 2021.

Pada majlis bersejarah yang diadakan di Ballrooms JW Marriot Kuala Lumpur itu, Puteri menerima mas kahwin RM300 beserta lima dulang hantaran daripada pihak lelaki. Sementara pihak perempuan menyerahkan tujuh dulang.

Puteri atau nama sebenarnya Puteri Aishah Sulaiman yang sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan itu bagaimanapun enggan memberitahu jumlah wang hantaran atas permintaan keluarga.

Pelakon filem Hanyut itu berkata, beliau sudah lama menantikan saat ini dan berharap ikatan perkahwinan akan berkekalan hingga akhir hayat.

Pasangan pengantin baharu ini dinikahkan oleh Ustaz Mohd. Abdul Nasir Abdullah dengan disaksikan bapa Puteri, Sulaiman Abd. Rahman.Foto kredit: CST Production.

“Alhamdulillah majlis dirancang berjalan lancar selepas beberapa kali ditangguh akibat pandemik Covid-19. Saya bersyukur apabila impian kami untuk melihat perkahwinan ini disaksikan oleh keluarga kedua belah pihak tercapai.

“Saya dan suami juga memohon maaf kerana tidak dapat menjemput rakan-rakan artist yang lain atas sebab Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” kata Puteri Aishah.

Menurut Puteri, Firdaus menjadi pilihannya kerana pemuda itu memiliki setiap ciri-ciri lelaki idamannya.

“Sepanjang dua tahun mengenali Firdaus, saya menyukai keperibadiannya. Dia seorang yang baik dan mengutamakan keluarga. Dia sangat menyayangi dan meletakkan keluarganya nombor satu.

“Malah, dia juga sentiasa menyokong minat saya dalam bidang lakonan. Dia juga sudah bagi lampu hijau di mana saya boleh teruskan kerjaya ini selama mungkin,” katanya.

Puteri Aishah dan Firdaus menjalin percintaan selama dua tahun sebelum mendirikan rumah tangga. Foto kredit: CST Production

Majlis yang diadakan secara sederhana membabitkan keluarga dan kenalan terdekat kedua belah pihak itu menyaksikan Puteri dan Firdaus mengenakan busana bewarna putih.

Baju pernikahan yang digayakan mereka adalah rekaan @RizmanRuzaini.

Dalam pada itu, majlis resepsi pasangan bahagia ini bakal diadakan di JW Marriot, Kuala Lumpur, malam ini. –BebasNews.

Leave a Reply