RAKYAT sokong Barisan Nasional (BN) ! Itu jawapan kepada persoalan rakyat sokong siapa apabila Melaka ‘menekan butang’ Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk memilih kerajaan baharu, yang ketiga dalam tempoh tidak sampai empat tahun.

Dengan penggal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dijangka berakhir  pada bulan Mei 2023 malahan lebih awal – mungkin akhir tahun 2022 – PRN Melaka terpaksa diadakan walaupun ia sepatutnya boleh dielakkan.

Jika empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menarik balik sokongan mampu bertahan sehingga pembubaran akan datang, PRN tidak akan berlaku.

Lompat melompat, menarik sokongan atau pembelotan tidak mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil. Sampai bila episod ini akan berakhir jika dalam lima tahun parti politik bergilir menjadi kerajaan? Sekejap PH, sekejap PN, sekejap BN.

Justeru jalan terbaik adakan PRN. Cari kerajaan yang benar-benar kuat dan stabil seperti rakyat nikmati sebelum ini, contohnya semasa Perikatan dan BN. Waktu itu tidak ghairah lompat melompat, undi tidak percaya atau tarik balik sokongan.

Sebaliknya selepas PRU lalu, kerajaan sama ada di peringkat pusat atau beberapa negeri tidak stabil. Berlaku ‘rebutan’ kuasa yang tidak berkesudahan..

Rakyat sudah letih dan muak melihat kerajaan seumpama ini. Puncanya adalah parti politik yang berjaya memerintah gagal mendapat majoriti yang betul-betul kukuh, sebuah kerajaan umpama telur di hujung tanduk atau retak yang menanti belah.

Melalui PRN Melaka semalam, mesej rakyat adalah jelas untuk memastikan sebuah kerajaan yang lebih stabil. Memberi kemenangan besar kepada BN lebih menjamin kestabilan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Bersandarkan keputusan yang ada pada hari ini, diharap tidak lagi berlaku situasi menukar kerajaan ikut selera umpama menukar baju. Dan pada masa sama parti politik juga sudah mengambil langkah menghalang lompat melompat.

Kemenangan bergaya BN boleh diibaratkan pemandu kereta yang menukar semua empat tayar kenderaannya yang sudah ‘haus’ atau ‘botak’ dengan tayar baharu supaya perjalanan seterusnya yang masih jauh itu lebih lancar dan selesa.

BN menang majoriti dua pertiga dengan gandingan yang baik apabila tunjang BN iaitu UMNO memenangi 18 kerusi, MCA 2 dan MIC 1. PH pula hanya menang 5 kerusi melalui DAP (4) dan Amanah (1) manakala PKR tidak memenangi sebarang kerusi.

PN pula melalui Bersatu menang dua kerusi tetapi hilang dua kerusi manakala komponennya Pas dan Gerakan gagal memenangi sebarang kerusi.

Justeru dengan angka ini 21 BN, 5 PH 2 PN rakyat berharap tiada lagi tawar menawar dan ugut mengugut bagi meruntuhkan sesebuah kerajaan. Rakyat sudah bosan dengan permainan politik seumpama ini.

Dalam hal ini rakyat Melaka sudah memberi mesej yang jelas dengan menolak tiga wakil rakyat yang mendorong kerajaan terdahulu runtuh sehingga PRN diadakan. Mesej rakyat Melaka – BN teruskan kestabilan kerajaan demi kemakmuran.

BN jangan sesekali mengabaikan mesej rakyat Melaka ini dengan menganggap parti itu dalam keadaan selesa. PRN dan PRU adalah sesuatu yang berbeza. PRN semua jentera tertumpu di satu-satu negeri tetapi PRU masing-masing di negeri sendiri.

BN perlu memperbaiki kelemahan yang ada. Insaflah, teruskan perubahan dan pembaharuan, dengarlah suara akar umbi di samping berusaha mewujudkan  persefahaman yang lebih baik dengan parti tertentu yang boleh dipercayai.

Jangan terlalu selesa dengan kemenangan ini. Buktikan BN mampu mewujudkan kestabilan dan kemakmuran yang boleh dijadikan sandaran rakyat.

BebasNews

Leave a Reply