Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Selepas Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan merealisasikan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000.

Bekas perdana menteri memetik nama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz supaya segera menekan ‘butang’ i-Citra RM10,000.

“Tengku Zafrul, kasi (sila) tekan butang i-Citra RM10,000 secepat mungkin,” tulis beliau dalam hantaran di Facebook hari ini.

BN malam tadi mencatat kejayaan majoriti dua pertiga sekali gus berjaya membentuk kerajaan Melaka menerusi kemenangan di 21 kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Najib sebelum ini memohon agar kerajaan menaikkan had maksimum pengeluaran i-Citra KWSP kepada RM10,000, berbanding RM5,000.

Beliau berkata, cadangan tersebut bukan langkah populis tetapi ekoran keperluan mendesak rakyat pasca Covid-19.

“Saya mendapati ramai yang bersuara dan mendesak. Ini sebenarnya mereka mempunyai tunggakan yang perlu dijelaskan ataupun berniat untuk mengumpul modal bagi memulakan perniagaan kecil.

“Saya amat berharap had maksimum i-Citra dinaikkan kepada RM10,000 sebagai skim pengeluaran khas terakhir, kerana ini amat dituntut oleh rakyat,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Dalam pada itu, meninjau di ruangan komen di Facebook Najib Razak majoriti warganet menyokong cadangan tersebut yang menyifatkannya sebagai sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh pencarum KWSP.

Seorang pengguna yang dikenali sebagai Kal Lie memberitahu, golongan B40 seperti beliau sangat memerlukan untuk dijadikan sebagai modal berniaga secara kecil-kecilan.

“Betul tu DS Najib Razak. Kami betul-betul memerlukan RM10,000 tu. Sudah merata saya mohon kerja, tetapi semuanya tidak mahu ambil.

“Bagi menampung kehidupan keluarga saya. Bantuan dari kerajaan saya tidak dapat. Setiap kali mohon tidak dapat sebab permohonan sudah tutup dan ada juga bila mohon, tetapi tidak layak,” ujarnya.

Mohd Faizullizam Zamani pula gembira dengan cadangan tersebut, namun meminta warga maya tidak menyalahkan bekas perdana menteri itu jika kerajaan menolak rayuan rakyat untuk pengeluaran i-Citra.

“Ini yang ditunggu-tunggu, tetapi kalau tidak dapat, jangan salahkan Najib.

“Najib cuma minta pihak yang berwajib tekan button je. Mohon jelas ya,” ujarnya.

Seorang lagi pengguna, Kyreal Asf sangat berharap rayuan rakyat itu diluluskan oleh kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Datuk Seri Ismail Sabri, rakyat sudah bagi kepercayaan kepada BN. Permudahkan urusan rakyat.

“RM1,000 terakhir pada Disember ini. Rakyat masih lagi merangkak untuk mendapat pendapatan bagi menanggung belanja. Mohon luluskan Datuk Seri Tengku Zafrul,” ujarnya.

Setakat pukul 12.30 tengah hari ini, catatan ringkas Ahli Parlimen Pekan itu sudah menerima lebih 10,000 komen, kira-kira 2,200 perkongsian dan lebih 59,000 tanda sokong.
BebasNews

Leave a Reply