Ngamsoi adalah single ketiga BaeI0n.

SEMAKIN aktif mengatur langkah dalam bidang seni, BaeI0n tampak sudah yakin dengan hala tuju muzik pilihannya. BaeI0n yang dikenali sebagai seorang periang dan bersahaja, memilih corak lagu santai untuk single baharunya.

Untuk single ini, beliau kembali dengan corak lagu catchy yang berjudul Ngamsoi pula. Mendengar judulnya, ramai pasti tertanya maksud di sebalik lagu itu di mana beliau memilih gunakan terma yang cukup menarik.

Menurut BaeI0n, beliau sengaja tampil dengan judul yang mampu memancing perhatian pendengar. Baginya, percaturan itu tepat menggambarkan dirinya yang sentiasa tampil unik dan tersendiri.

BaeI0n pilih Ngamsoi sebagai single baharu.

“Perkataan Ngamsoi itu diambil daripada slang yang selalu masyarakat guna untuk ekspresi setuju atau mengiyakan sesuatu. Ngam atau Ngamsoi ini, kita selalu dengar penggunannya dalam kalangan masyarakat Melayu dan Cina.

“Sebab utama saya memilih judul ini adalah kerana mahukan orang tertanya-tanya kenapa lagu judulnya Ngamsoi. Manakala dalam lirik pun saya berulang sebut Ngamsoi kerana senanglah diingati setiap pendengar,” katanya.

Tambah BaeI0n, meskipun lagu tersebut kedengaran santai, tidak bermakna beliau mengabaikan pengisian lirik lagu berkenaan. Menurutnya, mesej yang disampaikan memang kedengaran merapu namun terjadi setiap hari dalam kehidupan ramai.

“Cerita di sebalik lagu ini secara asasnya mengenai seseorang menjalani hari yang cukup panas dan kemudian pergi membeli kopi ais. Tiba-tiba terjumpa dengan seseorang yang dia suka. Situasi minum kopi ais dan berjumpa individu itu memang ‘ngamsoi’.

“Kalau daripada segi mesej utamanya pula, saya mahu memujuk pendengar agar berani luahkan perasaan terhadap orang yang disukai. Kalau misalnya, mereka memang suka sama suka, tunggu apa lagi, jalinkan hubungan serius,” jelasnya.

Tampil dengan konsep nyanyian hip hop untuk beberapa lagu terdahulunya, kali ini Bael0n beranikan diri untuk tunjuk sisi lain vokalnya. Misinya tidak lain untuk terus mencabar kemampuan dan berharap Ngamsoi berjaya menghiburkan ramai.

Memilih lagu berentak catchy tapi lirik tetap ada mesej.

“Dua lagu terdahulu saya lebih ke arah genre rap yang ringan. Kali ini, saya ingin buktikan kemampuan vokal menyanyi saya pula kerana sebolehnya saya enggan kekal dalam sebuah genre semata-mata.

“Saya juga tetap tampilkan lagu santai kali ini kerana mahu hiburkan pendengar dengan melodi yang ringan. Kita semua sudah berdepan masa sukar bersama, maka diharapkan lagu saya ini mampu riangkan serta mendapat tempat di hati pendengar,” katanya penuh harapan.

Demi lagu Ngamsoi, Bael0n juga mengakui membuat persiapan yang agak rapi bagi memastikan kualiti serta hasil akhirnya menepati cita rasa terkini. Justeru, beliau mengambil rujukan daripada penyanyi negara seberang untuk misi itu.

“Kebanyakan rujukan untuk bahagian nyanyian saya ambil dari muzik dan penyanyi Indonesia contohnya Diskoria menerusi lagu C.H.R.I.S.Y.E dan Sereneta Jiwa Lara. Cuma lenggoknya saya Melayu sedikit supaya boleh dinikmati bersama di sini,” katanya.

BaeI0n mahu menghibur orang ramai dengan bakatnya yang tersendiri.

Terdahulu, Bael0n sudah melancarkan dua lagu iaitu Cek Mek Molek dan Rindu yang diberi nafas baharu nyanyian asal Datuk M. Daud Kilau dan Amelina. Bael0n juga turut ditampilkan dalam kempen It Starts on TikTok tidak lama dulu.

Ngamsoi boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify dan YouTube Music. – BebasNews.

Leave a Reply