Dr. Irfan

BERKORBAN apa sahaja. Harta atau pun nyawa. Lirik lagu ‘Berkorban Apa Saja’ dendangan Allahyarham P. Ramlee ini tepat sekali untuk Dr. Irfan Halim, 45, petugas barisan hadapan Covid-19 yang menjadi lilin membakar diri sehingga dirinya sendiri terbakar.

Selama dua tahun doktor pakar bedah am (general surgery) ini mengabdikan diri merawat pesakit Covid-19 tetapi akhirnya dia sendiri tewas dijangkiti virus itu. Irfan meninggal dunia pertengahan November lalu setelah sembilan minggu bertarung di unit rawatan rapi (ICU) di Royal Brompton Hospital, London.

Memetik BBC News, Irfan yang bertugas di Swindon’s Great Western Hospital (130 kilometer dari London), terjatuh ketika bertugas di wad unit rawatan rapi (ICU) Covid-19 hopital tersebut pada 10 September akibat dijangkiti virus pembunuh itu.

Dia menerima rawatan rapi di hospital sama sehingga 23 September sebelum dipindahkan ke Royal Brompton Hospital untuk rawatan rapi selanjutnya. Irfan menerima rawatan melalui sebuah mesin sementara bagi menggantikan fungsi jantung dan paru-paru dikenali Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO).

Irfan, yang telah 25 tahun bertugas sebagai pegawai perubatan, meninggal dunia dalam belaian tangan isteri tercinta, Saila Salim, yang sentiasa bersama dengannya selama menjalani rawatan.

Irfan dianggap sebagai seorang doktor yang luar biasa dan bekerja keras membantu orang lain dengan penuh dedikasi dan komitmen. Menurut Independent, di sepanjang kariernya dia telah merawat lebih 250,000 pesakit.

Dr. Irfan dan isteri, Saila.
Kredit wales.online

Ketika Covid-19 berada di kemuncak, Irfan menyisihkan diri daripada Saila dan empat orang anaknya selama beberapa bulan untuk memastikan insan-insan yang disayangi ini tidak terkena jangkitan pandemik tersebut. Namun akhirnya dia sendiri yang tewas.

Tidak lama sebelum itu bapa Irfan, Kamal, juga meninggal kerana Covid-19. Kehilangan dua beranak dalam jangka awaktu yang tidak lama pastinya sangat menyedihkan kaum keluarga.

Pemergian Irfan amat dirasai oleh Saila, yang telah berkongsi hidup selama 15 tahun. Bagainya Irfan bukan sahaja seorang suami dan bapa kepada empat anak hasil perkongsian hidup mereka, tetapi adalah rakan baik tempat berbincang dan mengadu masalah.

Menurut Saila, suaminya pergi bertugas mengikut syif pada 10 September di wad Covid-19 di Hospital Swindon, tugas yang telah dilakukan sejak dua tahun lalu bagi merawat pesakit Covid-19. Pada hari itu seperti biasa dia pergi bertugas seperti hari-hari sebelumnya.

Namun sebenarnya hari itu bukan hari biasa bagi Irfan. Ketika melakukan rondaan dalam wad dengan berpakaian perlindungan lengkap, dia terjatuh. Difahamkan dia terkena jangkitan di tempat kerja.

“Dia pergi bertugas mengikut syif. Tetapi perginya tidak kembali. Jadual syifnya terlalu panjang,” rintih Saila dengan linangan air mata, seperti dilapor The Guardian.

Irfan berulang alik dari rumah mereka di Barking ke Swindon untuk bertugas. Rakan keluarga, Sian Hughes-Pollitt, menyifatkan Irfan sebagai seorang yang baik dan mesra dengan semua orang. Kerana itu kehilangannya bukan sahaja dirasai oleh keluarga tetapi juga kenalan dan rakan kerja.

Bagi Pollit, amat sukar menerima hakikat seorang yang telah mengambil pelbagai langkah perubatan dan pencegahan daripada jangkitan Covid-19 akhirnya tewas kepada virus tersebut.

Untuk membantu keluarga yang ditinggalkan Irfan, sebuah tabung diwujudkan yang sehingga kini telah berjaya mengutip lebih 80,000 pound sterling (RM450,000) untuk membantu meringankan beban Saila dan anak-anak. Ini kerana Irfan adalah sumber rezeki tunggal keluarga tersebut.

Bagi Saila, segala kenangan hidup bersama Irfan akan tetap tersemat di dalam hati. Suaminya sentiasa ingin bersama isteri dan anak-anak. Kerana dia gembira kerana berada di sisi Irfan sewaktu dia menghembuskan nafas terakhir.

Saila meminta rakan-rakan dan kenalan akan sentiasa mengingati Irfan dalam doa mereka. Dia juga mohon mereka berdoa semoga keluarganya dapat melalui kesedihan dan kepiluan hidup ditinggalkan orang yang sangat disayangi. – BebasNews

Leave a Reply