Noordin dan Kid memilih lagu Search untuk album RockologySearch: Kid'Din Collection Series.

HANYA 500 unit cakera padat berkembar (CD) saja yang dikeluarkan, kalau lambat pasti peminat Search kecewa. Ini kerana dalam CD, Rockology Search: Kid’Din Collection Series terdapat 22 lagu dendangan kumpulan Search.

Lagu-lagu yang terdapat dalam CD tersebut adalah pilihan Noordin Mohd. Taib, pemain gitar irama dan adiknya, Kid atau Hamzah, yang merupakan pemain gitar utama Search.

Penerbit dan pemilik Home Of Champions, Mozylir Mokhtaruddin berkata, idea menghasilkan Rockology Search: Kid’Din Collection Series ini diilhamkan Noordin ketika situasi penularan Covid-19 di negara ini dalam keadaan membimbangkan.

“Ketika itu konsert dan persembahan Search ditunda dan dibatalkan berikutan penularan Covid-19. Selepas mengambil kira beberapa faktor, saya, Noordin dan Kid sebulat suara untuk mengeluarkan kompilasi lagu berat dan ballad terbaik yang dipilih sendiri oleh Noordin dan Kid.

Album ini mengandungi 22 lagu menarik Search.

“Album ini istimewa kerana ia dihasilkan khas dalam bentuk boxset bersama 17 barangan istimewa khas buat peminat Search,” katanya.

Sementara itu, Noordin menjelaskan semua lagu dalam CD tersebut adalah daripada album Search yang diterbitkan syarikat Go Search Sdn Bhd., dan mengikut spesifikasi yang betul.

Tambah Din, pada Mac 2020, Amy secara rasmi mengumumkan beliau mengundur diri dari Search untuk memberi peluang kepada anggota Search yang lain meneruskan aktiviti kumpulan ini.

“Proses remastered semua lagu ini kami lakukan mengikut prosedur yang betul. Lagipun saya dan Kid ada hak kerana hari ini kami masih anggota Search,” katanya yang mendapat julukan King Of Rhythm itu.

Kid merupakan pemain gitar utama Search.

Ditanya mengenai pemilihan lagu-lagu ini, Din memberitahu, semuanya menampilkan sound dan teknik permainan gitar terbaik yang pernah beliau dan Kid rakamkan dalam album-album Search.

Jelasnya, ia adalah rakaman gitar terbaik daripada mereka berdua iaitu dari segi teknik, sound dan solo gitar. Album Rockology Search: Kid’Din Collection Series yang dikeluarkan 500 unit itu mula dijual secara dalam talian sejak 17 November 2021 dengan harga RM299. Turut dimuatkan dalam album terbitan Home Of Champions itu ialah trek bonus iaitu solo gitar daripada Din.

Antara lagu yang terdapat dalam cakera padat pertama adalah Melastik Ke Bintang dari album Karisma, Purnama (Fenomena 2003), Analogi 0.1 (Rampage), Neo Romantik (Rampage), Balada Pemuzik Jalanan (Double Trouble 2), Teguh (Karisma), Bencana (Fenomena 2003), Mancis Dah Basah (Bikin Wilayah), Honky Tong Kosong (Gema Di Timur Jauh), Feel The Pain (Rampage) dan Kereta Merah (Rock & Roll Pie).

Manakala untuk CD kedua pula mengandungi lagu Panggung Khayalan dari album Rock & Roll Pie, Di Pintu Sepi (Double Trouble 2), Bersalah Atau Tidak (Gema Di Timur Jauh), Bayangan Baiduri (Bikin Wilayah), Andai Ku Miliki Semalam (Gema Di Timur Jauh), Diari Habil & Qabil (Rock & Roll Pie), Paranoid (Karisma), Menara Kesesatan (Fenomena 2003), Rock & Roll Pie (Rock & Roll Pie), Roket (Gema Di Timur Jauh) dan Orait Mama (Karisma).

Bagi peminat tegar Search yang mahu jadikan album ini sebagai koleksi bolehlah membeli di laman web www.fenomenasearch.com, Facebook Home Of Champions, Instagram @homeofchampions.store atau WhatsApp 016-2704544.

Dalam album tersebut terdapat juga trek bonus iaitu solo gitar daripada Noordin.

Selain itu, pembeli turut berpeluang memenangi cabutan bertuah yang menampilkan tiga hadiah hebat iaitu Gema Di Timur Jauh custom made guitar (Noordin signature series), Rampage custom made guitar (Kid signature series) dan penginapan dua hari satu malam di Hotel Hard Rock, Desaru Coast, Johor.

Lain-lain keistimewaan yang pembeli akan dapat bila membeli Rockology Search: Kid’Din Collection Series adalah 17 barangan menarik dalam satu Rockobox. Rockobox istimewa itu mengandungi buku lirik 16 muka surat (135mm x 165mm), Sijil Authentic boxset yang ditandatangani Noordin dan Kid lengkap dengan nombor siri.

Selain itu terdapat juga booklet 16 muka surat diskografi Search (300mm x 210mm), Credit title dengan tulisan tangan Noordin dan Kid (saiz A4), satu keping Search X Awie Apologia Concert Repertoire (saiz A4), satu keping Search Live in Concert Macau Repertoire (saiz A4), Search Rockology Hard Box (330mm x 230mm x 76mm), sehelai T-shirt Gildan premium cotton Search Rockology (saiz S – XXXL), sehelai Red Bandana, satu unit sticker pack dengan PP white gloss laminate full colour (saiz A5), dua unit embroidery patches Search Rockology, satu unit kalendar meja Search (lapan muka surat), satu kraft paper bag Search, poster Search (saiz A3), empat keping poskad Search dan Trivia 40 Tahun Search.- BebasNews.

Leave a Reply