JOFFEY Jolly (kanan), penggusti lengan Malaysia yang muncul juara dunia 70 kg 2019.

SETELAH setahun lebih menyepi gara-gara pandemik Covid-19, Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan kembali dilangsungkan bagi edisi keempatnya pada 11 Disember ini di  Subang Jaya, Selangor.

Kejohanan yang dijadualkan dari pukul 9 pagi hingga 6 petang ini menjadi medan pengiktirafan tertinggi buat para penggusti lengan handalan seluruh negara yang pasti ternanti-nanti kehadirannya sejak tahun lalu.

Presiden Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArms), Mohd. Zil Fadli Abd. Halim berkata, “meneruskan tradisinya, kejohanan ini mahu mencari sekumpulan penggusti lengan terbaik Malaysia dalam pelbagai kategori berat badan.

MOHD. Zil Fadli Abd. Halim (kiri) bersama-sama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

“Setelah tertangguh lebih setahun, ramai penggusti lengan daripada kesemua negeri ahli gabungan MyArms tentu tidak sabar-sabar untuk kembali mempamerkan kejaguhan mereka dalam Kejohanan Gusti Lengan Kebangsaan 2021.

“Kejohanan ini turut akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Belia dan Sukan bagi penganjuran pertandingan sukan tempatan bagi mengelak penularan Covid-19,” katanya kepada BebasNews, hari ini (22 September).

Kali terakhir kejohanan anjuran MyArms yang diasaskan pada 2014 ini berlangsung ialah pada 17 Ogos 2019 di sebuah hotel di Cyberjaya, Selangor.

“Turut beraksi kali ini ialah juara dunia kategori senior 70 kilogram tangan kanan, Joffey Jolly.

“Dia juga meraih pingat gangsa berat sama (kiri) Kejohanan Gusti Lengan Dunia Persekutuan Gusti Lengan Antarabangsa (IFA) di Rumia, Poland pada 2019.

“Jagoan-jagoan lain termasuk Mohammad Safuan Asif, pemenang pingat perak senior 57 kg kanan dan gangsa kiri Kejohanan Dunia 2019 dan Abigail Kee, pemenang pingat perak remaja 70 kg kiri dan kanan,” kata Zil Fadli.

Katanya, MyArms tidak dapat menghantar atlet-atlet negara ke Kejohanan Gusti Lengan Dunia IFA 2021 pada September lalu di Orlando, Florida, Amerika Syarikat kerana masalah visa dan Covid-19.-BebasNews

Leave a Reply