Maya Karin gemar melakukan kerja-kerja kebajikan. Foto IG @maya_karin

BAKAT lakonannya tidak perlu dipertikaikan lagi kerana Maya Karin, 42, sudah beberapa kali menggenggam tropi untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik dan sebagainya dalam beberapa festival.

Satu perkara yang bagus tentang Maya Karin Roelcke ini, beliau dikenali kerana kerjaya seni atau aktiviti kemasyarakatan terutamanya tentang alam sekitar dan bukan menerusi kontroversi.

Disebabkan itulah Maya yang memulakan karier lakonan pada 2000 menerusi filem Seri Dewi Malam mampu bertahan sehingga kini biarpun, publisiti tentangnya tidak sekencang pelakon lain.

Maya Karin belum bersedia membuka hati untuk lelaki, lebih senang berkawan dan tumpu pada kerjaya.

Maya yang tidak gemar bercerita soal peribadi, bagaimanapun sewaktu sesi IG Live bersama penggiat seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem (FINAS) pada 22 November 2021, dilihat sedikit terbuka.

Jelas Maya, selepas bercerai pada 2010, beliau belum terfikir untuk mendirikan rumah tangga semula. Namun buat masa sekarang, ada dua tiga orang lelaki yang sedang cuba mendekati dirinya, termasuklah lelaki dari Australia.

“Tidak dinafikan, ada beberapa kenalan lelaki tempatan yang rapat dengan saya buat masa sekarang. Apapun buat masa sekarang, saya lebih senang memberi tumpuan pada kerjaya dulu. Lagipun bukan baru saya hidup solo, sudah lebih 10 tahun saya hidup sendirian, jadi tak ada masalah untuk saya teruskan kehidupan begitu buat masa terdekat ini.

“Bukan saya terlalu memilih tapi saya terikat dengan kerjaya. Lagipun ada teater dan beberapa karya seni yang sedang saya fokus dan itu menjadi keutamaan saya dahulu,” katanya yang sebelum ini berkahwin dengan lelaki Itali, Muhammad Ali atau nama sebenarnya Steven David Shorthose sebelum bercerai talak satu.

Maya Karin terikat dengan beberapa teater dan karya seni.

Dalam sesi temu bual yang diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang akan berlangsung pada 10 Disember depan, Maya yang merupakan Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak dua kali itu juga sempat berkongsi mengenai kisah mengenai rasa bimbang melampau (anxiety disorder) yang dihadapinya.

Menurut Maya, disebabkan perasaannya itu, beliau gagal mendapatkan dua watak dalam teater muzikal Puteri Gunung Ledang dan filem Crazy Rich Asian.

“Dua-dua uji bakat itu saya gagal. Saya gagal lakukan yang terbaik disebabkan anxiety. Tangan saya menggigil dan jadi berpeluh. Masalah itu sudah dapat diatasi, saya kini sudah boleh mengawal anxiety tersebut selepas mendapatkan nasihat daripada doktor,” katanya.
BebasNews.

Leave a Reply