Foto SYED YUSOF WAFA

EMPAT puluh tahun hidup bergantung kepada pacemaker (bateri) bagi membantu degupan jantung agar normal bukanlah sesuatu yang mudah. Sebabnya selagi bateri ada di badan, beliau harus menjauhkan diri daripada peralatan elektrik terutama yang bervoltan tinggi.

Bukan itu sahaja, malah sampai hari ini apabila hujan beliau harus pastikan berada di rumah kerana bimbang petir akan membuatkan pacemaker rosak dan beliau akan muntah-muntah dan pengsan.

Meskipun terpaksa berdepan dengan situasi begitu namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat beliau untuk mematuhi norma baru dalam kehidupannya demi cinta dan kasih sayang kepada suami, Redzuan Yaakub.

Itulah Maureen Chan atau Noor Azreen Abdullah,63, apabila setahun setelah menjadi isteri Redzuan (bernikah pada 28 Jun 1980) beliau terpaksa menjalani pembedahan memasukkan pacemaker di sebuah hospital di Singapura pada 3 Jun 1981. Pacemaker berkenaan yang diletak di atas dada sebelah kiri adalah untuk membantu agar jantungnya berdenyut secara normal.

Bagi generasi baru sememangnya nama Maureen Chan begitu asing bagi mereka. Namun bagi anda yang pernah mengikuti Bintang RTM 1976, tentu masih ingat beliau adalah salah seorang finalis pada pertandingan akhir itu yang telah menobatkan Sudirman Haji Arshad sebagai johan Bintang RTM 1976 yang berlangsung di sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Melaka pada 11 Ogos tahun berkenaan.

MAUREEN Chan bersama Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad memegang trofi sebagai Johan Bintang RTM 1976.

Sejak berakhirnya Bintang RTM 1976, Maureen Chan sering diundang menyanyi dalam rancangan Hiburan Minggu Ini bersama penyanyi popular ketika itu antaranya Sudirman Haji Arshad dan Sharifah Aini.

Mengimbas kembali setelah pacemaker dibadannya, kehidupan Maureen Chan berubah 360 darjah kerana Redzuan yang bekerja di Syarikat rakaman EMI dan menjadi pengurus, Datuk DJ Dave, tidak membenarkannya menyanyi kerana ‘paling pantang’ beliau tidak boleh terlalu dekat dengan peralatan elektrik yang tinggi voltannya.

“Ketika menyanyi di pentas kadangkala dengan showmanship yang ligat saya lalai. Satu yang saya mesti ingat ialah menjauhkan diri daripada amplifier kerana ia akan memberi kesan kepada pacemaker saya.

“Demi keselamatan saya, show di kem askar pada akhir 1980-an adalah yang terakhir. Saya tidak ingat di mana tetapi itulah noktah pada karier saya sebagai penyanyi,” cerita Maureen Chan anak keenam daripada lapan beradik pada pertemuan di rumahnya di Cheras, Rabu lalu ketika mengimbas kembali saat beliau harus meninggalkan dunia seni demi keselamatan dirinya.

MAUREEN Chan sebelum memakai ‘pacemaker’ banyak menerima undangan menyanyi.

Bercerita mengenai masalah jantungnya, Maureen Chan yang menjadi isteri Redzuan Yaakub pada usia baru 21 tahun dan belumpun setahun usia perkahwinan mereka, beliau sering muntah-muntah dan pengsan.

“Setelah menjalani pemeriksaan, doktor mendapati denyutan jantung saya terlalu lemah sebab itu saya muntah-muntah dan pengsan. Demi mendapatkan degupan jantung yang normal saya harus menjalani pembedahan memasukkan pacemaker di atas dada sebelah kiri.

“Sampai saat ini, saya ingat dan sememangnya tidak mampu membalas budi baik Arwah Sudir dan Arwah Kak Sharifah Aini. Arwah berdualah yang membantu Redzuan mendapat sumbangan daripada orang perseorangan dan kelab bolasepak bagi mengumpul sebanyak S$15,000 untuk pembedahan saya di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

“Sejak menggunakan pacemaker pergerakan saya memang terbatas tetapi saya bersyukur kerana Allah bagi peluang untuk saya bernafas lagi.

“Jika tengok daripada keadaan saya ketika itu dan syarat saya menggunakan pacemaker kadangkala saya terfikir saya tidak akan hidup lama. Namun saya sedar hidup mati kita Allah yang tentukan.

“Saya tidak pernah terfikir yang Redzuan akan pergi dahulu meninggalkan saya, anak-anak dan 11 cucu kami. Sewaktu kami berkahwin dan setelah saya memakai pacemaker Arwah menjaga saya dengan baik. Saya tidak menduga tatkala Arwah dimasukkan ke hospital pada 2 April 2020 kerana komplikasi jantung, paru-paru dan buah pinggang rupanya itulah saat terakhir beliau bersama kami.

SAAT bahagia menjadi ‘Raja Sehari’ Maureen Chan dan Redzuan Yaakob.

“Saya sempat melawat Redzuan sebelum meninggal pada 9 April tahun lalu. Apabila beliau meninggal kami dibenarkan melawat kerana arwah meninggal bukan disebabkan Covid-19.

“Arwah adalah seorang suami, ayah dan datuk yang baik dan penyayang. Sampai saat ini, masih terdengar di telinga saya pesanan yang kerap diberikan kepada anak-anak agar menjaga saya jika beliau tiada.

“Walaupun kehidupan kami sekeluarga tidak dilimpahi kemewahan namun kasih sayang Arwah kepada saya tidak pernah berubah sehingga akhir hayatnya, mengatasi segala-galanya,” cerita Maureen Chan.

Bagaimanapun kata Maureen Chan sebagai isteri beliau bersyukur kerana Arwah memberi tempat tinggal yang selesa iaitu sebuah kondo untuk beliau dan anak-anak berteduh.

Perkahwinan mereka selama 40 tahun dikurniakan dua orang anak iaitu Noor Faralisa, 39, Muhammad Daniel, 34, dan seorang anak daripada perkahwinan terdahulu Allahyarham, Zaidatul Shazuan, 49, dengan 11 orang cucu.

MAUREEN Chan menunjukkan empat ‘pacemaker’ yang digunakan sebelum ini.

Menyentuh mengenai pacemaker, Maureen Chan memberitahu setakat ini beliau telah menjalani lima kali pembedahan dan setiap pacemaker ‘usia ketahanannya’ tidak sama.

Pacemaker pertama dengan kos S$15,000 pada tahun 1981 bertahan selama 10 tahun. Manakala bermula pada pembedahan kedua hingga kelima dilakukan di Malaysia. Pembedahan kedua menukar pacemaker dilakukan pada tahun 1991 dengan kos RM6,000 kerana telah ada wire pada tempat untuk meletakkan pacemaker berkenaan. Pembedahan ketiga pada 1996 diikut pada tahun 2004 dan 2014.

“In shaa Allah saya akan menjalani pembedahan untuk menukar pacemaker pada Januari 2024,” kata Maureen Chan.

Bercerita mengenai kehidupannya hari ini, Maureen memberitahu;

“Syukur alhamdulillah…kerana hidup saya kini dikelilingi empat daripada 11 orang cucu iaitu anak-anak Daniel. Daniel tinggal di tingkat tiga kondo yang sama dan dengan menjaga empat orang cucu saya ini terubatlah kesunyian hati saya.”

Apabila ditanya apakah beliau bersedia menyanyi jika ada yang mengundangnya, sambil tersenyum Maureen berkata;

“Setelah saya meletakkan noktah pada karier saya sejak 30 tahun lalu tidak mungkin saya menyanyi semula, apalagi saya masih ingat pesan Arwah suami saya tatkala mahu saya berhenti menyanyi demi kasih sayangnya dan keselamatan saya. Mana mungkin setelah Arwah tiada saya melupakan pengorbanan dan kasih sayangnya.”

– BebasNews

Leave a Reply