SETARA Pra-Liga Sepak Takraw (STL) 2022 yang dijadualkan 7 Januari!

Manakan tidak? Hadiah wang tunai kemenangannya hampir berjumlah RM10,000 bagi ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Terbuka, Bawah 19 dan 14 Tahun.

Syarat penyertaan turut diperluaskan kepada para pemain kebangsaan dan negeri mahupun sehingga dari Thailand.

Inilah antara daya tarikan Kejohanan Sepak Takraw Piala Presiden Kelab Sepak Takraw Darul Aman, Asmirul Anuar Aris pada 25 Disember ini di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah.

ASMIRUL ANUAR ARIS

Juara Terbuka bakal mengaut RM3,000 selain piala sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kubang Rotan itu manakala RM1,700 buat naib juara dan pemenang tempat ketiga dan keempat masing-masing mendapat RM800 dan RM500.

Ketua Teknikal Kejohanan, Khairolnafiz Kahamrudin berkata, sehingga kini sambutannya cukup hangat dengan 57 regu sudah berdaftar bagi kategori Terbuka, 36 regu bagi Bawah 19 dan 25 regu Bawah 14.

“Penyertaan perlu dihadkan kepada 60 regu Terbuka dan 24 regu sahaja bagi Bawah 19 dan 14 kerana masa pertandingan yang suntuk untuk dihabiskan dalam sehari sahaja di lapan gelanggang.

“Kelab kami mendapat makluman regu-regu yang bakal bertanding ini akan menghantar para pemain kebangsaan dan negeri malah ada pemain dari Thailand yang mahu masuk,” katanya kepada BebasNews.

PIALA Kejohanan Sepak Takraw Kelab Darul Aman sumbangan Asmirul Anuar Aris.

Walau bagaimanapun katanya, syarat penyertaan kejohanan ini hanya membenarkan seorang pemain negeri dan kebangsaan dalam sesebuah regu yang bertanding iaitu dikira mulai 2018 hingga sekarang.

“Takrif negeri dan kebangsaan kami membabitkan pemain berusia 20 tahun ke atas dalam semua kejohanan anjuran Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) seperti Piala Emas Khir Johari dan STL serta antarabangsa. Kategori Bawah 19 dan 14 terkecuali daripada syarat ini.

“Pemain dari luar Malaysia umpamanya Thailand, boleh menyertai tetapi hanya seorang yang dibenarkan dalam setiap regu dan bebas bermain di mana-mana posisi,” katanya.

Selain regu-regu tempatan Kedah, terdapat penyertaan dari MPSJ Selangor, UiTM Shah Alam, PKNS Selangor, Kerinchi Kuala Lumpur, MPT Perak, Pulau Pinang dan Gastep Terengganu.

Majlis undian regu ditetapkan pada 11 Disember ini di pejabat ADUN Kubang Rotan dengan format pertandingan kategori Terbuka ialah kalah singkir manakala liga lapan kumpulan (tiga regu setiap satu) bagi Bawah 19 dan 14.

Sistem kiraan 21 mata menurut undang-undang permainan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) kekal digunakan bagi kategori Terbuka namun hanya 30 mata satu set yang ditetapkan buat kedua-dua saingan remaja itu. – BebasNews

Leave a Reply