KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditafsirkan oleh sesetengah pihak sebagai petanda Barisan Nasional (BN) mungkin kembali menguasai kerajaan pusat menerusi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tafsiran ini menafikan hakikat bahawa para pengundi Peribumi-Muslim dalam PRN Melaka baru-baru ini sebenarnya dicengkam dilema yang dimunculkan oleh krisis nilai dalam BN dan UMNO.

Dilema ini didakwa telah tercetus akibat karenah, perilaku serta integriti segelintir pembesar BN dan UMNO setempat yang telah menjejaskan kemantapan politik sehingga menyebabkan diadakan PRN Melaka ke-15.

Lebih serius lagi, dilema ini juga didakwa tercetus akibat karenah, perilaku serta integriti segelintir pembesar BN dan UMNO peringkat nasional yang telah meledakkan tsunami politik dalam PRU14.

Lantas, pengundi Peribumi-Muslim Melaka terpaksa menimbangkan tiga persoalan penting untuk menentukan arah kuasa undi masing-masing dalam PRN tersebut. Pertama, mereka terpaksa memikirkan sama ada kuasa undi mereka mahu digunakan untuk menebus maruah dan untuk mengembalikan kuasa BN dan UMNO dalam Kerajaan Negeri Melaka yang terhakis akibat tsunami politik negara ketika PRU14.

Kedua, mereka terpaksa menilai sama ada kuasa undinya mahu diguna untuk mendaulatkan soal integriti politik dan menentang rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang diperjuangkan oleh Perikatan Nasional (PN) dalam PRN berkenaan. Ketiga, mereka terpaksa memikirkan sama ada kuasa undinya mahu didedikasikan ke arah usaha memantapkan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka demi kesejahteraan rakyat jelatanya.

Dilema di atas sukar untuk diselesaikan oleh pengundi Peribumi-Muslim Melaka. Jika mereka mahu menebus maruah UMNO dan BN akibat tsunami politik dalam PRU14, mereka terpaksa meminggirkan soal integriti dan memerangi rasuah serta salah guna kuasa yang diperjuangkan oleh PN.

Hakikatnya serupa jika mereka mahu menggunakan kuasa undi bagi menegakkan integriti politik dan menyokong gerakan anti-rasuah dan mencegah salah guna kuasa yang dipelopori oleh PN.

Tetapi, jika mereka memilih perkiraan pertama, mereka juga dapat menyumbang kepada perjuangan memantapkan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka yang bergolak sebelum PRN tersebut.

Oleh itu, pengundi Peribumi-Muslim Melaka telah membuat perhitungan yang tepat dan bijaksana, walaupun terpaksa meminggirkan ciri-ciri perjuangan PN yang juga menawan hati kecil masing-masing dalam PRN tersebut.

Ini menunjukkan bahawa keputusan PRN Melaka tidak boleh disifatkan sebagai cerminan mutlak kepada corak undi serta sokongan rakyat Peribumi-Muslim di merata negara terhadap BN dalam PRU15 kelak.

Mereka tetap akan menilai pelbagai perkembangan mengenai soal integriti, rasuah dan salah guna kuasa yang kini menjadi tumpuan umum, khususnya dalam kalangan pengundi muda di seluruh negara.

Pengundi dewasa Peribumi-Muslim pula ternanti-nanti apa lagi kejanggalan karenah dan perilaku segelintir pembesar UMNO dan BN dalam mengendalikan perkongsian kuasa BN-PN dalam kerajaan pusat.

Mereka tidak lagi rela diporak-perandakan oleh paradoks, ironi atau kejanggalan perilaku dan karenah kelompok ini seperti yang dipamerkan dalam PRN Melaka. Bayangkan betapa sukarnya untuk para Menteri yang duduk semeja dalam kabinet Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub ketika berkempen dalam PRN Melaka.

Mereka sama-sama berganding bahu dalam memperjuangkan soal rakyat jelata dalam kerajaan pusat. Tetapi, tindakan segelintir pembesar UMNO dan BN menyebabkan mereka bertindak sebagai seteru dalam PRN Melaka.

Rakyat jelata menyifatkan ini sebagai satu perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran negara Malaysia. Tetapi, ini berlaku sebab karenah dan keputusan segelintir pembesar UMNO dan BN.

Ini tindakan yang seolah-olah meremehkan pemikiran rakyat Peribumi-Muslim. Bagaimana tergamaknya mereka menimbulkan kejanggalan perilaku dan keputusan seperti ini sehingga mencetuskan perseteruan antara sesama Peribumi-Muslim?

Lantas, timbul persoalan adakah segelintir pembesar politik Peribumi-Muslim Malaysia sedang berhadapan krisis nilai dalam siasah mereka? Apa kesan krisis nilai seperti ini kepada keselamatan kuasa dan keselamatan politik Peribumi-Muslim di Malaysia mutakhir? Adakah pencetus krisis nilai ini wajar terus disokong?

Seterusnya, apa yang akan berlaku jika krisis nilai yang dihadapi oleh segelintir pihak ini mencetuskan tsunami politik kedua yang meranapkan kuasa dan keselamatan politik Peribumi-Muslim buat selama-lamanya menerusi dalam PRU15?

Jangan remehkan persoalan di atas. Pelbagai kemungkinan boleh tercetus. Malaysia bukan negara dengan satu bangsa sahaja. Kemerdekaan negara telah memberikan kewarganegaraan kepada banyak pihak. Kemerdekaan juga memberikan kuasa politik yang sama kepada semua warganegara menerusi Perlembagaan Persekutuan.
Biarpun mereka akur kepada kontrak sosial yang termeterai menjelang
kemerdekaan, kini wujud corak politik yang enggan menghormati kontrak sosial, malahan mahukan kesamarataan kepada pelbagai peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dengan ini, pihak yang sedang mencetuskan krisis nilai dalam perjuangan politik Peribumi-Muslim di Malaysia wajar kembali waras. Insaflah, bahawa secara falsafahnya, perjuangan politik adalah untuk keselamatan rakyat dan negara, bukannya untuk kesejahteraan peribadi, keluarga atau kroni.

Ini kerana asas kepada falsafah politik yang universal adalah: kuasa pemimpinnya mesti digunakan untuk menjamin kelangsungan hidup dan peningkatan mutu kehidupan rakyat jelata.

Falsafah politik yang universal juga menuntut para pemimpinnya untuk mengekang nafsu peribadi dan untuk mendisiplinkan minda peribadi pemimpinnya supaya tidak menimbulkan penganiayaan atau mudarat kepada rakyat.

Tuntutan falsafah ini dapat ditunaikan jika pemimpin politik mempunyai disiplin intelektual yang kukuh serta mempunyai ilmu yang tidak songsang. Ini membolehkan pemimpin politik membuat perhitungan serta mewujudkan piawaian kepimpinan yang mengarah serta menumpu kepada matlamat penggunaan kuasa secara membina demi rakyat dan negara.

Dalam Islam, kepimpinan negara juga mesti mempunyai sifat siddiq (benar), amanah (benar-benar boleh dipercayai), tabligh (menyampaikan kebenaran) dan fathonah (bijaksana); supaya mereka “amat bersopan dalam bertutur kata, jujur, tidak pernah berdusta serta luhur budi pekertinya”.

Dalam erti kata lainnya, jangan gunakan Islam sebagai topeng untuk meraih kuasa, untuk menutup kesongsangan kuasa, untuk menudung salah guna kuasa atau untuk mengelirukan sokongan rakyat jelata.

Kesimpulannya, PRN Melaka jangan dijadikan penyebab supaya krisis nilai dalam politik Peribumi-Muslim di Malaysia terus berleluasa dan bermaharajalela. Jangan juga ia dijadikan asas untuk bersikap sombong dan bongkak dalam kalangan pihak yang sedang mencetuskan krisis nilai ini.

Insaflah, PRU15 mempunyai perkiraan dan dinamika yang tidak serupa dengan PRN Melaka. Jika krisis nilai di atas tidak dihapuskan menjelang PRU15, Peribumi-Muslim mungkin kehilangan kuasa buat selama-lamanya menerusi PRU15.

Lantas, teruskanlah kebobrokan nilai politik yang dihuraikan di atas jika Peribumi-Muslim mahu hancur dan kehilangan kuasa. Atau, selesaikanlah segera segala krisis nilai tersebut jika Peribumi-Muslim benar-benar mahu mengekalkan kuasa politiknya menerusi PRU15. – BebasNews

Leave a Reply