judge, court, gavel
Photo by mohamed_hassan on Pixabay
Oleh Hafiz Hassan

ADA perbezaan antara “legitimate” (sah) dan “legal” (berkaitan dengan undang-undang). Oleh sebab itu, ada perbezaan antara “legitimate expectation” (jangkaan yang sah) dan “legal right” (hak undang-undang).

“Legal right” sudah pastinya hak yang sah di sisi undang-undang. “Legitimate expectation” pula hanyalah suatu jangkaan tetapi sah dan diterima oleh undang-undang. Waimmah, kedua-duanya diiktiraf oleh undang-undang.

Dua puluh tahun yang lalu, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) telah membatalkan operasi Pasar Fuji (‘pasar tersebut’) di Tawau, Sabah. Pasar tersebut terletak di atas dua bidang tanah (‘tanah-tanah tersebut’) terdiri daripada 104 gerai. Pengusaha-pengusaha tersebut telah menjalankan perniagaan mereka sejak tahun 1992.

Pemilik tanah-tanah tersebut telah mendapat kelulusan daripada MPT untuk pembinaan pasar tersebut dan apabila tanah-tanah tersebut dipindah milik kepada pemilik baru, ATS Land Sdn Bhd (‘ATS’), ATS diberikan lesen berniaga untuk meneruskan operasi pasar tersebut, berkuatkuasa 1 November 1998. Pengusaha-pengusaha gerai di pasar tersebut tetapi tiada ikatan kontrak dengan MPT. Mereka hanya membayar yuran perlesenan kepada ATS, yang kemudiannya membayar yuran tersebut kepada MPT.

Pengusaha-pengusaha gerai perayu mendakwa pada suatu majlis makan tengahari kelolaan ATS, presiden MPT telah memberi representasi lisan kepada pengusaha-pengusaha gerai bahawa mereka boleh meneruskan perniagaan mereka di pasar tersebut. Tetapi kemudiannya, dalam surat ditujukan kepada ATS, MPT telah membatalkan operasi pasar tersebut.

ATS telah menulis kepada MPT bertanyakan sebab mengapa pasar tersebut ditutup secara tiba-tiba dan memohon agar MPT mempertimbangkan keputusannya. Tetapi MPT, berpegang pada surat kelulusan dan undang-undang kecil, tetap mahu meneruskan niatnya untuk menutup pasar tersebut.

Pengusaha-pengusaha gerai turut sama menghantar surat rayuan kepada MPT agar mempertimbangkan semula keputusannya. Sebaliknya, MPT mengarahkan mereka keluar dari pasar tersebut.

Apabila semua usaha gagal, ATS memberitahu pengusaha-pengusaha gerai bahawa syarikat itu tidak akan mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap keputusan MPT. Lalu pengusaha-pengusaha gerai, yang tidak pernah berpeluang menyuarakan pendapat mereka secara bersemuka, mengambil tindakan semakan kehakiman yang mana mereka memohon certiorari dan relief perisytiharan, namun Mahkamah Tinggi mengenepikan permohonan mereka.

Pengusaha-pengusaha gerai merayu kepada Mahkamah Rayuan. Isu pokok dalam rayuan adalah sama ada pengusaha-pengusaha gerai mempunyai jangkaan yang sah (“legitimate expectation”) bahawa kesinambungan perniagaan mereka di pasar tersebut tidak akan ditarik balik tanpa memberi mereka peluang membuat representasi terlebih dahulu.

Mahkamah Rayuan, dengan majoriti 2:1, menolak rayuan mereka.

Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Raus Sharif dan Abu Samah memutuskan bahawa perkara bersangkutan pasar tersebut adalah antara ATS dan MPT dan surat kelulusan dan kemudiannya penutupan pasar tersebut hanya ditujukan kepada ATS. Maka, sebarang dakwaan bahawa MPT melanggar prinsip keadilan semula jadi dalam keputusan menutup pasar tersebut seharusnya datang daripada ATS.

Tetapi ATS sepertinya telah menerima keputusan MPT dan memutuskan tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang malah akan mematuhi keputusan MPT. Oleh kerana fakta-fakta kes jelas menunjukkan bahawa pengusaha-pengusaha gerai tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk mengadu bahawa mereka dinafikan hak untuk didengar oleh MPT.

Mereka juga tidak ada hak untuk mengambil tindakan seterusnya kerana mereka tidak ada kena-mengena dengan perjanjian antara ATS dan MPT. Mereka bukanlah pemegang lesen dan tidak berurusan terus dengan MPT. ATS merupakan pemilik tanah dan MPT telah memberikan lesen kepada syarikat tersebut untuk menjalankan operasi pasar tersebut atas tanah-tanah tersebut.

Oleh sebab itu, doktrin jangkaan yang sah tidak terpakai dalam kes ini.

Kesemua kes yang dirujuk oleh pengusaha-pengusaha gerai dalam hujahan mereka menunjukkan satu persamaan, iaitu pihak-pihak terkilan mempunyai pertalian terus dengan pihak yang memberi kata putus. Oleh itu, kes-kes yang diguna pakai tidak membantu pengusaha-pengusaha gerai dalam rayuan mereka.

Representasi lisan oleh presiden MPT yang dibuat semasa majlis makan tengahari kelolaan ATS dan dihadiri oleh beberapa pengusaha-pengusaha gerai adalah representasi yang dibuat kepada ATS, walaupun itu merupakan berita baik kepada pengusaha-pengusaha gerai.

Pun begitu, ia tidak bermakna kedua-dua Hakim Mahkamah Rayuan tersebut tidak mengiktiraf doktrin jangkaan yang sah. Malah Abu Samah HMR akur bahawa doktrin tersebut telh diterima pakai pada tahun 1987 oleh Mahkamah Agong (sebelum ia dinamakan semula sebagai Mahkamah Persekutuan) dalam kes JP Berthelson v Director General of Immigration, Malaysia & Ors.

Dalam kes tersebut, Mahkamah Agong memutuskan bahawa seorang warga Amerika yang merupakan seorang wartawan Asian Wall Street Journal di Kuala Lumpur mempunyai jangkaan yang sah bahawa pas kerjanya tidak akan dibatalkan tanpa memberi peluang kepadanya untuk membuat representasi kepada pihak berwajib. Hakim Mahkamah Agong Abdool Cader berkata, apa yang perlu dilakukan oleh pihak berwajib adalah memberi peluang kepada pemegang pas kerja tersebut untuk membuat representasi.

Jangkaan yang sah wujud dalam keadaan di mana suatu pihak yang bertanggungjawab membuat keputusan telah mendorong suatu jangkaan munasabah di pihak yang menjangkakan ia tidak akan terjejas dengan keputusan yang dibuat oleh pihak berwajib tersebut. Atau sekiranya ia akan terjejas, ia hendaklah diberi peluang untuk membuat representasi sebelum keputusan dibuat.

Peluang untuk membuat representasi – hanya itu yang dipinta oleh doktrin jangkaan yang sah. – BebasNews

Leave a Reply