CT Vet bukan setakat merawat kucing tapi mahu memberi kesedaran kepada pemilik agar menjaga binatang peliharaan mereka seperti membesarkan anak sendiri.

Orang yang memelihara binatang biasanya mempunyai sifat penyayang. Rasa sayang itu dikongsi dengan haiwan peliharaan yang kebanyakannya kucing atau dikenali juga sebagai Si Bulus.

Bagi Dr. Siti Nadzirah Zulkiffle atau Dr. Naz, 33, rasa sayangnya kepada Si Bulus menyebabkan beliau beralih bidang daripada minat menjadi doktor sakit puan kepada doktor haiwan.

Menurut Dr. Naz, pada usia ketika remaja, beliau tidak tahu wujud jurusan kedoktoran haiwan ada ditawarkan di pusat pengajian.

Dr. Naz adalah seorang pencinta kucing sebab itu beliau pilih bidang veterinar.

Namun akhirnya, beliau dapat juga belajar jurusan Doktor Perubatan Veterinar di Universiti Putra Malaysia, Sri Kembangan, Selangor.

Sejak tujuh tahun lalu, Dr. Naz menjadi pengasas klinik dan penjagaan haiwan, CT Vet di Gelang Patah, Johor Bahru.

“Saya percaya semua makhluk termasuk haiwan perlu dilayan dengan baik dan sebab itulah saya berazam memiliki klinik haiwan sendiri. Saya sendiri begitu dekat dengan haiwan terutama kucing. Hati memang cepat tersentuh dan hiba melihat haiwan itu diapa-apakan atau terbiar begitu saja.

“Kesedaran mengenai hal membela haiwan ini dengan baik sudah mula ada kalau mahu dibandingkan dulu,” kata anak sulung daripada tujuh beradik itu yang tidak bimbang dengan bersaing dengan klinik haiwan lain.

Beliau berkata, lebih banyak klinik haiwan akan memberikan akses luas kepada penjagaan kesihatan haiwan dan kini ramai yang sanggup mengeluarkan belanja besar untuk memastikan haiwan peliharaan mereka mendapat penjagaan sempurna.

“Tak dinafikan kos penjagaan rawatan haiwan boleh mencecah beribu ringgit. Macam kalau haiwan itu patah tulang boleh cecah empat angka kosnya.

“Kalau rawatan penyakit yang boleh dicegah dalam anggaran kos RM1,000 hingga RM2,500. Padahal vaksin ubat kutu dan cacing cuma sekitar RM100 ke RM150 sahaja. Jadi kalau pandai jaga dan mencegah, kos mahal itu dapat dielak,” katanya.

Kos rawatan untuk kucing boleh dikurangkan jika pemilik bijak menjaga binatang peliharaan mereka.

Dr. Naz sempat mengimbas semula zaman remajanya yang gemar menyelamatkan kucing terbiar, hingga satu tahap beliau dimarahi oleh ayahnya kerana banyak kucing yang dipungut pulang.

“Pernah suatu ketika, nampak kucing di jalanan, saya akan selamatkan atau merawatnya. Sampai 80 ekor kucing ‘menginap’ di rumah. Apa lagi, ayah terus marah sebab keadaan di rumah macam kedai haiwan peliharaan. Ada sebahagian kucing itu saya jaga di klinik. Ada yang sudah mati,” katanya.

Tambah Dr. Naz, ada pemilik kucing yang sampai tahap mahu mematikan haiwan itu kerana sudah tidak mampu menjaganya.

“Tapi saya tak sanggup melakukannya. Malah mencadangkan kepada pemilik haiwan untuk membenarkan kucing mereka diambil alih orang lain,” ujarnya.

“Haiwan itu tidak boleh bercakap jika ada sebarang masalah kesihatan. Lalu siapa lagi yang boleh diharapkan selain doktor haiwan untuk mengenal pasti masalah kesihatan yang dialami dan memberikan rawatan sesuai kepada mereka.

“Kadangkala pemilik haiwan itu sendiri tidak tahu atau tidak dapat mengenal pasti masalah yang haiwan mereka alami. Jadi, pentingnya tugas kami untuk membantu menyelamatkan haiwan dan berbakti kepada mereka,” katanya yang mendirikan rumah tangga pada April lalu.

Dr. Naz bukan sekadar merawat kucing tapi turut memberi khidmat rundingan percuma kepada pelanggan.

Bagi meneruskan ruang memberi kesedaran yang mahu diperjuangkan, Dr. Naz terus mahu menyedarkan lebih ramai pencinta haiwan terutama di Johor Bahru dan berdekatan datang ke kliniknya.

“Selain berkongsi info penting dan tip, jika ada kesulitan melingkari haiwan peliharaan anda, datanglah ke klinik CT Vet di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah, Johor Bahru.

“Saya sendiri mewujudkan akaun media sosial seperti Instagram @klinik_haiwan_ct_vet, Facebook (klinik haiwan CT Vet) dan di aplikasi telegram sahabatctvet,” katanya.- BebasNews.

Leave a Reply