KUALA LUMPUR – Pentadbir persatuan dan badan sukan negara diingatkan supaya tidak memberikan sebarang tender atau projek kepada kroni ataupun ahli keluarga mereka dalam setiap program atau kejohanan sukan yang dianjurkan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata, sekecil-kecil tender pembekalan seperti pemasangan khemah dalam kejohanan sukan, jika diberikan kepada ahli keluarga adalah menjadi satu kesalahan mengikut Akta SPRM 2009.

Beliau menjelaskan, setiap pentadbir badan sukan terikat sebagai badan awam dan setiap tindakan atau dana yang digunakan tidak boleh memberi faedah kepada diri sendiri dan ahli keluarga, lapor Berita Harian.

“Dalam kes membabitkan badan sukan negara kita melihat kepada tadbir urus yang dilakukan mereka sekiranya mereka menyalahguna dana yang diberikan kepada badan itu.

“Mereka tidak boleh menggunakan kelebihan yang ada dalam badan itu sesuka hati atau untuk faedah sendiri, “ kata beliau pada Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Badan Sukan Kebangsaan, 2021.

Yang turut hadir adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Menteri, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Timbalan Ketua Setiausaha KBS, Ramona Razali (Strategik) serta Abdullah Hassan (Pengurusan).

Sebelum itu, dalam ucapannya Azam mendedahkan, ramai pentadbir persatuan sukan negara tidak sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada pegawai badan awam dan jika terpalit rasuah, boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 23, Akta SPRM 2009.

Seksyen 23 adalah menggunakan jawatan dan kedudukan untuk suapan pegawai badan awam.

Katanya, setiap urus tadbir yang dilaksanakan perlu mengikut organisasi sesebuah badan awam dan kerajaan dan mereka yang dilantik atau menganggotai badan sukan juga ditakrif sebagai seorang pegawai badan awam.

“Oleh demikian anda adalah subjek sekiranya berlaku salah guna kuasa atau kesalahan rasuah.

“Ramai termasuk pertadbir sendiri tidak mengetahui perkara ini. Anda tidak boleh menggunakan dana untuk projek pembangunan sesuka hati apatah lagi untuk kepentingan sendiri atau keluarga,” katanya.

Jelas beliau, situasi itu diperbetulkan dan ditegaskan untuk semua pihak khususnya pentadbir dan anggota ahli ahli persatuan sukan dalam usaha meletakkan taraf sukan negara ke hadapan.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Badan Sukan Kebangsaan kerana terus komited dalam IBR walaupun sudah melaksanakan majlis sama pada tahun 2017. – BebasNews

Please follow and like us:

Leave a Reply