PARA tetamu kenamaan meneliti Set Jongkong Emas Kenang-kenangan 100 Tahun Piala Malaysia yang dilancarkan di Wisma FAM, Kelana Jaya. - Foto MFL

ULANG tahun ke-100 pertandingan bola sepak berprestij negara, Piala Malaysia dimeriahkan dengan pelancaran Set Edisi Terhad Jongkong Emas Piala Malaysia oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan kerjasama Ninox Idea dan Faidh Jewels, hari ini.

Sebanyak 999 set kenang-kenangan 100 tahun itu bertujuan mengabadikan genap seabad usia kejohanan antara yang tertua di Asia ini yang bermula pada 20 Ogos 1921 dengan nama Piala HMS Malaya apabila Selangor menewaskan Pulau Pinang 5-1 di Kuala Lumpur.

MFL dengan kerjasama Ninox Idea dan Faidh Jewels turut bersetuju mengeluarkan satu lagi item bersejarah, jongkong emas seberat 0.5 gram sebagai koleksi peminat sukan nombor satu negara ini, lapor siaran media oleh MFL, hari ini.

Kata Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan, kerjasama ini memberikan petanda yang cukup positif sekali gus membuka pintu kepada pihak-pihak lain untuk bersama MFL dalam pengkomersialan nilai Liga Malaysia yang turut meliputi Liga Super dan Perdana, Piala Sumbangsih, Piala FA dan Piala Pencabar.

“Tahun ini kita meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia dan sudah pasti produk seperti ini menjadi satu kemestian semua penyokong bola sepak negara untuk menjadikannya koleksi satu kejohanan tertua di Asia,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, “Piala Malaysia sentiasa menjadi kelainan dan memiliki aura tersendiri.

“Kehadiran Set Kenang-kenangan 100 tahun Piala Malaysia akan turut merancakkan pertandingannya, tahun ini,” tambahnya.

Para pembeli set terhad bernombor siri setiap satu ini mengandungi jongkong emas dengan ketulenan 999.9 selain menerima buku kenang-kenangan Piala Malaysia, pelitup muka, lencana magnet dan pelekat kereta.

Setiap set berharga RM299 dengan pembelian boleh dibuat menerusi laman sesawang www.faidhjewels.com.my atau menghubungi Kedai Emas Faidh menerusi talian 03-8071 8024.

SET berharga RM299 ini mengandungi jongkong emas dengan ketulenan 999.9, buku kenang-kenangan Piala Malaysia, pelitup muka, lencana magnet dan pelekat kereta. – Foto MFL

“Pembeli dijangka menerima set masing-masing selepas 15 Disember ini secara berperingkat-peringkat mengikut kaedah penyerahan barang yang dipersetujui.

“Kami berharap pembeli akan menyimpan item ulang tahun yang sangat signifikan selain memiliki jongkong emas yang mempunyai nilai sepanjang masa dan menguntungkan,” jelas Ninox Idea dan Faidh Jewels menerusi kenyataan bersama.

Pelancarannya turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mohd. Joehari Ayub, Pengarah Ninox Idea – Mohd. Danial Don Alfian dan Mohd. Irfan Babjee serta Pengarah Kreatif Ninox, Ahmad Nizam Sharif.

Faidh Jewels pula diwakili oleh Pengarahnya, Zainal Azhar Mohamed dan Siti Salmah Abd Hamid serta Redzuan Abd Hamid.- BebasNews

Leave a Reply