KUALA LUMPUR – Bank pelaburan bebas terkemuka Malaysia, Kenanga Investment Bank Berhad (“Kenanga” atau “Kumpulan”) telah mencatat keuntungan bersih sebanyak RM86.5 juta bagi tempoh kewangan sembilan bulan berakhir 30 September, 2021, meningkat berbanding RM63 juta bagi tempoh sama pada tahun lepas.

Pendapatan bersih tahun berakhir (YTD) berjumlah RM586.3 juta, naik 1.4% daripada tempoh yang sama sebelumnya, manakala perbelanjaan operasi berkurang sedikit kepada RM490.7 juta. Pulangan ke atas Ekuiti Tahunan (ROE) bagi tempoh kewangan berkenaan adalah sebanyak 11.3 peratus daripada 9.0 peratus sebelumnya.

Perolehan yang kukuh terutamanya disebabkan oleh sumbangan lebih tinggi daripada perniagaan pembrokeran saham dan pengurusan pelaburan, di samping bahagian keuntungan daripada usaha sama dengan Rakuten Trade Sdn Bhd.

Bahagian Pembrokeran Saham Kenanga Investment Bank mencapai PBT sebanyak RM68.8 juta bagi sembilan pertama tahun ini berbanding dengan RM52.7 juta daripada tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh faedah bersih lebih tinggi, pendapatan dagangan dan pelaburan bersih yang lebih baik, di samping perbelanjaan kerugian kredit yang lebih rendah.

Pendapatan pelaburan dagangan ekuiti bersih meningkat kepada RM56.0 juta, naik 40.2% daripada tempoh yang sama. Bahagian ini terus berjaya mengembangkan bahagian pasarannya, terutamanya dalam segmen runcit, daripada 21.9 peratus kepada 23.5 peratus, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu broker runcit terbesar dalam pasaran, kata Pengarah Urusan Kumpulan, Kenanga Investment Bank Berhad, Datuk Chay Wai Leong.

Dalam tempoh yang sama, Rakuten Trade mencapai satu lagi kemajuan dengan platform dagangan dalam talian yang berkembang pantas, melebihi 200,000 akaun berdaftar.

Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Kekayaan Kenanga Investment Bank mencatatkan PBT tertinggi dalam rekod pencapaiannya, apabila melonjak lebih tiga kali kepada RM20.6 juta dalam tempoh sembilan bulan berbanding dengan RM7.6 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas.

Peningkatan ketara ini disumbangkan oleh penjanaan pendapatan fi prestasi dan fi pengurusan lebih tinggi yang disokong oleh peningkatan aset di bawah pengurusan (AUA) dan kekuatan agensi jualan. AUA berjumlah RM16.3 bilion, meningkat sebanyak 18.4% daripada tempoh yang sama tahun lepas.

“Dengan pembukaan semula secara beransur-ansur semua sektor ekonomi dan pemansuhan sekatan, disokong oleh kemajuan kempen vaksinasi COVID-19, penggunaan langkah-langkah rangsangan dan timbulnya keadaan permintaan yang kukuh, kami kekal optimis secara berwaspada terhadap prospek ekonomi negara memasuki tahun baharu,” ujar Chay.

“Walau bagaimanapun, kita kini menyaksikan penyusutan dalam aktiviti dagangan bukan sahaja di Bursa Malaysia, tetapi juga di beberapa bursa utama lain di seluruh dunia. Hal ini mungkin memberikan impak kepada hasil suku tahun yang seterusnya, namun secara keseluruhannya, meraih manfaat daripada kekuatan menerusi aliran hasil pelbagai kami, kami berada di landasan yang betul untuk menutup tirai tahun ini pada asas yang kukuh, berbanding dengan prestasi tahun lepas,” katanya.

“Dengan model perniagaan kami tertumpu pada pendigitalan, dan amalan berterusan kehematan di seluruh operasi kami, kami berada dalam kedudukan yang baik untuk terus mengembangkan perniagaan dan menghasilkan nilai pemegang saham jangka panjang,” jelas beliau. – BebasNews

Leave a Reply