KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini berkata, kit ujian pantas (RTK) antigen menggunakan sampel air liur kini dijual pada harga lebih rendah, iaitu RM4.90 tanpa menjejaskan aspek kualiti peranti berkenaan.

Harga itu mewakili penurunan sebanyak 87.7 peratus sejak kit berkenaan pertama kali dijual di pasaran bagi kegunaan orang ramai disifatkan selari usaha kerajaan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti.

Beliau dalam kenyataannya hari ini (25 November) berkata, kit ujian kendiri COVID-19 sudah menjadi keperluan seisi rumah, memandangkan kadar penularan pandemik masih tinggi di Malaysia.

Susulan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi, pekerjaan, sekolah dan institusi pengajian, beliau mengakui bahawa keperluan untuk membuat ujian kendiri menjadi lebih mendesak serta perlu dilakukan dengan kerap, kata beliau, lapor Berita Harian.

“Kementerian sentiasa mendengar keluhan rakyat yang terkesan akibat penjualan kit ini pada harga tinggi sebelum ini, justeru itu, kita berjaya menurunkan harga kit ujian kendiri daripada RM39.90 kepada harga siling RM19.90, di peringkat runcit.

“Melalui perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Kesihatan (KKM), saya bersetuju harga kit ini perlu diturunkan lagi, tanpa berkompromi dengan kualiti kit ujian.

“Setakat ini, KPDNHEP sudah memberikan kebenaran kepada 7,302 premis di seluruh negara untuk menjual kit ujian kendiri ini yang diberikan kebenaran oleh KKM dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA),” kata beliau. – BebasNews

Leave a Reply