TERENGGANU FC dikompaun RM10,000 oleh Jabatan Kesihatan Negeri akibat kegagalan penonton di Stadium Sultan Mizan mematuhi SOP penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka. - Foto TFC

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Terengganu FC masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu kerana didapati gagal memastikan penonton mematuhi penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna pada separuh akhir pertama Piala Malaysia 2021, Isnin lalu.

Pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh penganjur Piala Malaysia, MFL dan kelab berkenaan selaku tuan rumah perlawanan bagi mencegah penularan Covid-19 itu disahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam dalam laman sesawangnya, hari ini.

STUART RAMALINGAM

Kenyataan media oleh jabatan itu hari ini, menyebut, dua kompaun berkenaan telah dikeluarkan kepada kedua-dua pihak itu di bawah Peraturan 16 P.U (A) 293/2021, Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

“Siasatan lanjut berkaitan pelanggaran SOP itu telah dijalankan dalam perlawanan antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada pukul 8 hingga 11 malam di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu,” kata Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong.

Perlawanan itu berkesudahan seri 1-1.

MFL turut menerima kunjungan wakil-wakil Kementerian Kesihatan iaitu Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Daerah Petaling, Mohd. Ashhurun Rahmat, Mohd Zaid Mohd Nawi dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Daerah Kuala Nerus, Ahmad Syazwan Shamsuddin, Lokman Hakim Mohd Jaafar, Wan Muhammad Khairul Anam Waris dan Pegawai Kesihatan Persekitaran, Jamil Mat di ibu pejabatnya di Kelana Jaya.

“MFL menerima kunjungan wakil-wakil kementerian pada hari ini yang menjelaskan situasi berdasarkan siasatan mereka berkenaan perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia itu.

“MFL dan Rakan Kongsi Liga (pasukan-pasukan bertanding) akan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada kementerian kerana pelaksanaan pematuhan SOP ini sangat penting dalam usaha mengekang rantaian pandemik Covid-19.

“MFL sangat kesal kerana beberapa insiden pelanggaran pematuhan SOP berlaku dalam Piala Malaysia. Kita seharusnya lebih peka terhadap kenaikan kes Covid-19 dan saya berharap perkara seperti ini tidak akan berulang pada masa akan datang,” katanya.

Stuart menambah, beliau diberitahu jabatan itu bahawa Terengganu FC telah mengambil beberapa langkah antaranya mengehadkan bilangan penonton kepada 20,000 orang sahaja (42.6 peratus) daripada muatan sebenar Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, 47,500 orang.

Selain itu kenyataan jabatan turut mengesahkan langkah-langkah lain telah diambil kelab itu seperti,

i) Menyediakan QR Code MySejahtera, pengambilan suhu dan menyediakan cecair pencuci tangan sebelum memasuki stadium;
ii) Membenarkan penonton yang lengkap vaksin sahaja memasuki stadium;
iii) Menyediakan pasukan kawalan keselamatan sebanyak 430 orang yang terdiri daripada agensi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ikatan Relawan Rakyat (Rela), Angkatan Pertahanan Awam (APM), petugas keselamatan pintu masuk dan petugas kompleks sukan;
iv) Mewajibkan semua penonton memakai pelitup muka sepanjang perlawanan berlangsung.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pelanggaran pematuhan SOP oleh penyokong-penyokong pasukan bakal memberikan impak buruk kepada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 30 November ini.

MFL katanya, khuatir dengan kemungkinan itu memandangkan kerajaan sentiasa berusaha keras untuk mengawal pergerakan wabak Covid-19 malah boleh menarik balik syarat kemasukan penonton pada final Piala Malaysia jika SOP itu masih dilanggar.

“Suka atau tidak, kita harus bersikap lebih matang dalam norma baharu kehidupan kita yang diancam virus Covid-19.

“Jika pelanggaran SOP masih berlaku pada masa akan datang, MFL bimbang kemasukan penonton untuk final Piala Malaysia dan Liga Malaysia musim depan, akan ditarik balik.

“Saya berharap penyokong-penyokong memiliki sentimen sayangkan bola sepak negara dan sentiasa mengikut peraturan atau mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

“Sekali lagi saya berharap insiden-insiden yang mengaitkan pelanggaran SOP ini tidak akan berulang pada separuh akhir kedua Piala Malaysia, esok.

Selain JDT FC menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor, Melaka United FC akan menentang Kuala Lumpur City FC di Stadium Hang Jebat, Melaka setelah kedua-duanya terikat 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, juga Isnin lalu.- BebasNews

Leave a Reply