Mike Tyson mengurus perniagaan kanabis di AS bernilai berjuta-juta dolar di Amerika Syarikat. Foto cultureboxe.com

BEKAS peninju terkenal Mike Tyson dilaporkan bersetuju untuk menjadi duta rasmi kanabis atau ganja Malawi.

Kanabis tempatan yang dihasilkan Malawi iaitu ‘Malawi Gold’ terkenal dalam kalangan pengguna bahan itu di seluruh dunia.

Malawi telah menghalalkan penanaman dan kegiatan memproses kanabis untuk tujuan perubatan pada tahun lalu tetapi penggunaan untuk peribadi masih lagi diharamkan atau tidak dibenarkan.

Menteri Pertanian Malawi, Lobin Low berkata, beliau telah mengutuskan sepucuk surat kepada Tyson untuk mempelawanya menjadi duta sambil menambah tindakan menghalalkan kanabis membuka peluang baharu kepada negara berkenaan.

Tyson, bekas juara heavyweight dunia, adalah seorang usahawan yang turut melabur dalam perladangan kanabis di Amerika Syarikat (AS).

Tindakan kerajaan membuat pelawaan itu turut menerima kritikan daripada sesetengah pihak kerana bekas peninju itu pernah dipenjarakan atas kesalahan seks pada 1990-an.

“Malawi mungkin tidak dapat melakukannya sendiri kerana industri ini sangat kompleks [dan memerlukan] kerjasama. Sehubungan itu, saya ingin melantik anda, Mike Tyson, sebagai duta Cawangan Ganja Malawi,” tulis Low dalam suratnya.

Usaha menarik Tyson menjadi Duta Kanabis dibantu oleh Persatuan Kanabis AS, kata Kementerian Pertanian Malawi.

Difahamkan Tyson telah bersetuju menerima pelawaan berkenaan dan rancangan sedang diatur untuk membolehkan beliau melawat Malawi. – BebasNews

Leave a Reply