KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Vape Malaysia, yang juga dikenali sebagai VCAM (Vape Consumers Association Malaysia) telah melancarkan #RegulateMYVape, sebuah kempen yang menyeru pengawalan vape di Malaysia untuk memastikan keselamatan pengguna.

Bersempena pelancaran kempen tersebut, VCAM telah melancarkan sebuah video kempen yang bertajuk Generasi Vape Community Feature – sebuah dokumentari ringkas yang memaparkan kisah-kisah pengguna vape di Malaysia, dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengawalan vape.

Memandangkan jumlah pengguna vape yang begitu besar dalam komuniti di Malaysia, video tersebut menceritakan tentang generasi vape di Malaysia dan pengalaman peribadi mereka yang menggunakan vape sebagai alat untuk berhenti merokok.

Dokumentari sepanjang enam minit tersebut juga memaparkan maklumat tentang perkembangan budaya vape di Malaysia, nasihat perubatan mengenai kesan penggunaan tembakau secara berpanjangan, dan menampilkan beberapa personaliti terkenal seperti pelawak dan juruhebah radio, Kavin Jay, dan Dr. Farzan Iqbal.

“Menurut Kaji Selidik Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2019, terdapat kira-kira 1.12 juta pengguna vape di Malaysia. Dengan komuniti vape yang sebegitu besar, ternyata industri ini perlu dikawal dengan segera bagi memastikan keselamatan pengguna vape. Selain itu, melalui kempen ini, kami juga ingin meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai manfaat penggunaan vape sebagai alat untuk berhenti merokok,” kata Tengku Aslahuddin, Presiden Persatuan Pengguna Vape Malaysia.

“Dengan pengenalan cukai ke atas vape nikotin dalam Bajet 2022, Kerajaan Malaysia harus dipuji kerana mengambil langkah perlu untuk memperkenalkan lebih banyak peraturan kepada industri yang sedang berkembang pesat ini. Keselamatan pengguna adalah keutamaan buat VCAM,

“Oleh itu, tujuan utama kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai keadaan semasa industri vape, kesan buruk pasaran vape yang tidak terkawal, dan memberi maklumat kepada perokok mengenai pilihan yang kurang berbahaya untuk membantu mereka berhenti merokok,” tambah beliau.

VCAM komited untuk terus membantu meningkatkan kesedaran mengenai pengawalan rokok elektronik di Malaysa. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen #RegulateMYVape dan menonton video kempen tersebut, layari Facebook VCAM. – BebasNews

Leave a Reply