Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Istiadat Angkat Sumpah Taat Setia dan Sumpan Simpan Rahsia Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka

KUALA LUMPUR – Seramai lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka berdepan tanggungjawab besar apabila dilantik sebagai Exco bagi memenuhi janji Barisan Nasional (BN) setelah memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) hujung minggu lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh antara lapan muka baharu yang dilantik sebagai Exco di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ab Rauf yang merupakan ADUN Tanjung Bidara akan mengetuai portfolio Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, lapor BH Online.

Sulaiman ketika mengumumkannya, berkata selain itu, muka baharu yang dilantik adalah ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan (EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar).

Turut dilantik ialah ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang memegang portfolio Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani)

Wakil MIC yang juga ADUN Gadek, VP Shanmugam bakal menerajui portfolio Belia, Sukan dan NGO, manakala ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin (Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan) serta ADUN Merlimau, Dr Akmal Saleh (Exco Kesihatan dan Antidadah);

ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin pula akan memegang portfolio Pendidikan dan Teknologi dan ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem (Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna).

Sulaiman berkata, beliau akan mengetuai portfolio Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama.

Dalam pada itu, ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis kekal menerajui portfolio Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan.

Sementara ADUN Ayer Molek, Rahmad Mariman pula dilantik sebagai Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir.

“Senarai Exco berkenaan dipersetujui oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Simpan Rahsia akan berlangsung petang ini,” katanya.

Beliau turut yakin barisan Exco berkenaan mampu menggalas tanggungjawab untuk membangunkan Melaka, sekali gus dapat menggerakkan usaha merealisasikan manifesto serta aku janji BN pada PRN Sabtu lalu.

BebasNews

Leave a Reply