Seorang pekerja lombong arang batu. Gambar hiasan

MOSCOW – Jumlah korban tragedi paling buruk berlaku dalam dekad ini di lombong batu bawah tanah di bandar Kemerovo, Rusia pada Khamis lalu meningkat kepada 52 termasuk anggota penyelamat, kata pihak berkuasa.

Menurut Kementerian Kecemasan, setakat ini 239 telah dikeluarkan daripada lombong berkenaan apabila berlaku kebakaran setelah habuk arang batu disambar api sehingga menyebabkan asap tebal pada kedalaman 250 meter, manakala 45 lagi cedera dimasukan ke hospital.

Pada awal kejadian berpuluh-puluh lagi dilaporkan terperangkap dan operasi menyelamat terpaksa dihentikan sementara kerana kandungan gas methana yang boleh menyebabkan berlakunya letupan, lapor media tempatan.

Enam anggota penyelamat juga terbunuh.

Menurut pejabat Gabenor Kemerovo Oblast, seramai 285 berada dalam lombong berkenaan ketika kejadian berlaku.

Kemerovo Oblast yang terletak di barat daya Siberia, menjadi kawasan industri yang penting bagi Rusia kerana memiliki simpanan arang batu antara yang terbesar di dunia.

Asap yang tebal menjejaskan usaha menyelamat pelombong yang masih terperangkap dalam lubang lombong bawah tanah.

Penjabat pendakwa raya Kemerovo Oblast sedang menyiasat kejadian berkenaan dan tiga orang termasuk pengarah lombong telah ditahan kerana gagal mematuhi peraturan keselamatan. – BebasNews

Leave a Reply