hacker, cyber crime, internet
Photo by TheDigitalArtist on Pixabay

KUALA LUMPUR – Walaupun dianggap menyusah dan membebankan, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sepanjang 18 bulan kebelakangan ini ada hikmahnya juga.

Antara lain, statistik menunjukkan berlaku penurunan 21.4 peratus kes jenayah pada 2020 kepada 65,623 berbanding 83,456 pada 2019.

Pun begitu, menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, Bilangan aduan kes jenayah siber yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tahun lepas meningkat 99.5 peratus kepada 20,805 berbanding 10,426 pada 2019.

“Antara aduan yang diterima adalah elemen lucah, palsu, jelik, sumbang dan mengancam,” katanya.

Beliau berkata, kesemua elemen aduan menyaksikan peningkatan dengan yang tertinggi ialah elemen palsu iaitu sebanyak 117.6 peratus pada 2020.

Katanya sebanyak 6,637 aduan direkodkan tahun lepas untuk elemen palsu berbanding 3,050 pada 2019.

Jelas beliau antara sebab berlakunya trend kes yang direkodkan adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tambah beliau, bagi kes-kes jenayah fizikal – jenayah kekerasan dan jenayah harta benda dengan jenayah kekerasan merekodkan penurunan 19.5 peratus kepada 13,279 kes pada 2020 dan jenayah harta benda pula menurun 21.8 peratus kepada 52,344 kes bagi tempoh yang sama.

“Antara punca penurunan kes jenayah adalah disebabkan sekatan aktiviti sosial dan rentas sempadan daerah dan negeri berikutan PKP yang telah membataskan pergerakan individu,” menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd. Uzir berkata, aktiviti penguatkuasaan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa dan kesedaran masyarakat dalam mempertingkat perlindungan daripada ancaman jenayah turut menyumbang kepada penurunan kes.

Beliau berkata, berdasarkan rekod kes jenayah kekerasan mengikut daerah pentadbiran, didapati Seremban di Negeri Sembilan mencatat peratusan penurunan tertinggi tahun lepas iaitu 40.6 peratus kepada 326 kes berbanding 549 pada 2019.

Ini diikuti Johor Bahru (-36.7 peratus) dan Melaka Tengah (-26.3 peratus) manakala untuk jenayah harta benda, Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang mencatat penurunan tertinggi sebanyak 35.8 peratus kepada 982 kes tahun lepas berbanding 1,529 pada 2019.

Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini menerbitkan Statistik Jenayah, Malaysia, 2021 yang memuatkan lapan statistik jenayah terpilih iaitu jenayah indeks, dadah, rasuah, alam sekitar, kesalahan trafik, jenayah siber, jenayah maritim dan pemulihan. — Bebasnews

Leave a Reply