KUALA LUMPUR – Bagi mengelakkan rakyat Malaysia daripada dijangkiti varian terbaharu Covid-19, kerajaan telah melaksanakan larangan pergerakan ke tujuh buah negara di benua Afrika.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu merupakan inisiatif kerajaan dalam meningkatkan langkah pencegahan dan kawalan sempadan, termasuk bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara, berkuat kuasa mulai esok (27 November).

Tujuh buah negara yang terlibat adalah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Katanya, tiga negara telah melaporkan kes berkaitan varian baharu B.1.1.529 iaitu Afrika Selatan sebanyak 77 kes, Botswana (empat kes) dan Hong Kong (dua kes) bagaimanapun, tiada kes berkaitan varian ini dilaporkan di Malaysia berdasarkan pengawasan genomik, setakat hari ini.

“Sekatan sementara dikenakan kepada semua warganegara asing yang mempunyai sejarah perjalanan ke Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Afrika Selatan dan Zimbabwe dalam tempoh 14 hari yang lalu.

“Warganegara Malaysia dan pemegang pas penduduk tetap yang pulang ke Malaysia dari negara-negara tersebut, dibenarkan memasuki negara tetapi dikehendaki menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin tanpa mengira status vaksinasi, kuarantin di rumah tidak dibenarkan,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat KKM pada Jumaat.

Khairy berkata, selain itu, sampel akan diambil dari individu yang tiba dari tujuh buah negara berkenaan bagi pengawasan genomik.

Katanya, pemantauan berterusan bagi pengawasan genomik dijalankan konsortium terdiri daripada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Institut Penyelidikan Perubatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Beliau berkata, KKM akan terus menjalankan pemantauan perkembangan situasi varian baharu ini di dalam dan luar negara termasuk pelaporan daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Langkah-langkah pencegahan dan kawalan serta perkembangan mengenai varian baharu B.1.1.529 ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Katanya, menurut laporan, varian baharu ini mempunyai 32 mutasi ‘spike protein’ iaitu dua kali ganda lebih banyak daripada varian Delta dan sehingga kini, tiada maklumat lanjut bagi tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan bagi varian B.1.1.529.

“Buat masa ini, WHO masih lagi membuat pemantauan yang rapi mengenai perkembangan yang berkaitan pelaporan varian baharu B.1.1.529.

“Buat masa ini varian baharu ini dikategorikan oleh WHO sebagai ‘Variant Under Monitoring’ (VUM). KKM memandang serius dengan kewujudan varian baharu ini, dan akan mempertingkatkan survelan genomik termasuk ke atas individu yang tiba dari negara yang melaporkan varian baharu ini,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply