Foto FB Mohd Rafiq Naizamohideen

KUALA LUMPUR (UPDATE) – Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Melaka yang baharu akan diumumkan dalam masa terdekat, kata Setiausaha Agongnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, keputusan pemilihan Ketua BPN BERSATU Melaka yang baharu dibuat selepas dipersetujui Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, lapor Berita Harian.

“Kita baru saja terima (surat peletakan jawatan Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen) hari ini dan kita ucapkan terima kasih kepada beliau.

“Insya-Allah kita akan umumkan dalam masa terdekat selepas dipersetujui Presiden,” katanya selepas Persidangan Tahunan BERSATU Bahagian Larut di Taiping, hari ini.

Sebelum ini, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen telah mengumumkan peletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Melaka dan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Melaka berkuat kuasa serta-merta.

Mohd Rafiq berkata, peletakan jawatannya bertujuan memberi peluang kepada kepimpinan baharu mengetuai Bersatu Melaka dan PN Melaka supaya dapat membuat persiapan yang seckupnya untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Peletakan jawatan ini membolehkan saya berikan tumpuan untuk memperkukuhkan kedudukan dan sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional Parlimen Tangga Batu dan Bersatu Bahagian Tangga Batu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini (26 November)

Beliau berharap dan berdoa agar rakyat Melaka dan rakyat Malaysia dapat terus memberikan sokongan kepada PN di bawah pimpinan Muhyiddin.

“Moga-moga Perikatan Nasional akan mencapai kejayaan yang cemerlang pada PRU15 nanti,” ujarnya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berlangsung pada Sabtu lalu, Mohd Rafiq yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas memperoleh 3,976 undi sekali gus tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Razak Abdul Rahman yang mendapat 6,052 undi. – BebasNews

Leave a Reply