Bakal tampil dengan filem KL Gangster 3 The Finale.

JARANG sekali karya pengarah Syamsul Yusof, 37, tidak mendapat perhatian ramai sejak beliau menceburi bidang pengarahan filem menerusi Evolusi KL Drift, 2008.

Anak kepada pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam itu hingga kini masih lagi aktif mengarah filem dan sesekali, beliau juga turut ditawar berlakon drama atau filem.

Malah sebagai pengarah prolifik, Syamsul tidak mudah melatah apabila karyanya dikritik oleh penonton atau pengkritik filem dalam kalangan YouTuber.

Kata Syamsul, beliau tidak kisah jika ada yang mahu mengkritik kerana sedar setiap orang mempunyai cita rasa tersendiri dan bukan mudah untuk memuaskan hati pelbagai pihak.

Bagaimanapun Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd Yusof berkata, kritikan juga perlu dibezakan dengan hinaan.

“Saya sudah lama mengarah. Saya daripada generasi sebelum ini lagi dan ramai yang seangkatan saya sudah memperlahankan kerjaya. Sama juga dalam kritikan filem, orang bercakap filem pun sudah berbeza. Apatah lagi sekarang era media sosial dan semua perkara nak komen. Bagi saya tak salah, tapi kena sesuai atau tidak.

“Semua orang boleh kritik, tapi kena ada ilmu. Perlu tahu bezakan kritikan dan hinaan. Nak kritik kena bijak. Kalau orang tidak suka filem saya, okey saja. Apa yang penting saya puas. Saya juga tidak boleh puaskan hati semua orang.

“Saya bukan nak cakap saya bagus, tapi saya ada ilmu sendiri. Seseorang yang berjaya, pasti ada yang tak suka atau ‘haters’, itu perkara biasa. Jadi kuatkan mental dan fokus pada karya,” katanya.

Syamsul sewaktu menerima anugerah Ikon Malaysia untuk kategori Top Leadership Ceo 2021 daripada Tan Sri Noh Omar, baru-baru ini.Foto kredit: thehitmannazri

Dalam masa sama, Syamsul yang juga pengarah filem Munafik mengagumi cara pengarahan dan hasil kerja Khabir Bhatia, Erma Fatima dan Datuk Paduka Shuhaimi Baba.

“Kalau nak kata siapa pengarah yang saya suka antaranya Khabir Bhatia, Erma Fatima dan Shuhaimi Baba. Nak menjadi pengarah bukan mudah. Kak Erma mengarahkan filem Embun. Begitu juga dengan filem sentuhan Shuhaimi Baba. Saya tabik mereka sebagai pengarah wanita.

“Kalau mereka boleh buat, takkan saya tak boleh. Jadi, mereka antara pengarah hebat yang saya suka dan saya sudah kaji filem mereka. Saya mengkaji banyak cabang. Saya bukan jenis yang tengok sekejap saja,” katanya.

Beliau sebelum ini berkongsi perkara itu pada sesi Instagram (IG) Live menerusi topik Persediaan Menjadi Pengarah Tanpa Gagal yang berlangsung pada 24 November 2021.

Untuk rekod, Syamsul adalah pemenang Pengarah Terbaik paling muda pernah memenangi anugerah Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM 23) iaitu pada usia 25 tahun menerusi filem Evolusi KL Drift 2.

Syamsul ditemu bual oleh Nik Syafik (atas) dan Aswad Jalil untuk sesi IG live Bersama Penggiat Seni anjuran WHAM sempena Festival Filem Malaysia ke-31.

Syamsul turut mengulangi kejayaan sama pada FFM 24 menerusi filem KL Gangster dan FFM 28 bagi filem Munafik.

Lebih membanggakan Syamsul juga memenangi Pengarah Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-57 menerusi filem Munafik.

Filem arahannya, Munafik 2 menjadi filem tempatan nombor satu apabila meraih kutipan mencecah RM48 juta.

IG Live Bersama Penggiat Seni anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) diadakan sempena Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang bakal berlangsung pada 10 Disember ini.

Temu bual tersebut dikendalikan moderator yang juga bekas wartawan Melodi, Nik Syafiq dan Aswad Jalil (bekas wartawan hiburan HLive). – BebasNews

Leave a Reply