injection, hand, virus
Photo by WiR_Pixs on Pixabay

UNITED KINGDOM (UPDATE)– Dunia kini dihantui kebimbangan dengan kemunculan varian baharu Covid-19 yang dinamakan sebagai Omicron (sebelum ini dikenali sebagai B.1.1.529),  dilaporkan lebih berbahaya selepas dikesan di Afrika Selatan pada awal minggu ini.

Bursa saham dunia semalam (Jumaat) menyaksikan harga-harga saham mengalami kejatuhan teruk selepas pengumuman penemuan varian baharu ini dibuat. Saham syarikat penerbangan dan firma pengembaraan paling ketara menjadi mangsanya.

Lebih banyak negara mulai mengetatkan lagi langkah kuarantin dan menutup pintu sempadan mereka kepada para pengembara dari enam buah negara di benua berkenaan, lapor Agensi.

Kesatuan Eropah (EU) telah mencadangkan pengharaman penerbangan dari benua itu ke mana-mana negara anggotanya.

Pakar penyakit berjangkit, bagaimanapun memberi amaran bahawa sekatan perjalanan mungkin sudah terlewat untuk menyekatnya daripada menular ke seluruh dunia.

Para saintis masih lagi cuba untuk memahami tentang varian ini secara mendalam sambil menyatakan kebimbangan mereka tentang perkembangan ini.

Varian baharu dilaporkan mampu merebak lebih cepat dan meningkatkan risiko untuk dijangkiti semula.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, pihaknya akan mengambil masa beberapa minggu sebelum dapat memahami impak varian baharu kerana ahli saintis perlu tahu bagaimana jangkitan berlaku.

Varian baharu ini dikatakan amat berbeza sekali berbanding dengan yang pernah muncul sebelum ini dan sentiasa bermutasi sekali gus menjadikan vaksin yang dihasilkan sebelum ini sudah lagi tidak berkesan.

Kes jangkitan yang melibatkan varian ini telah disahkan di Afrika Selatan dan kini dikenal pasti juga berlaku di Hong Kong, Israel and Botswana. – BebasNews

Leave a Reply