Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Budaya dan nilai tradisional Cina, orang ramai haruslah memperolehi kekayaan mereka secara munasabah dan wajar melalui kerja mereka dan bukan melalui penipuan.

Begitulah antara kata-kata penuh berhikmah Ahli Falsafah Cina, Confucius.

Menurut Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), kata-kata Confucius tersebut menekankan kejujuran dalam tingkah laku seharian.

“Kejujuran adalah nilai moral yang sangat dihargai oleh orang Cina.

“Falsafah ini sama dengan ajaran Islam yang memerintahkan umat Islam untuk berlaku jujur kepada diri sendiri dan kepada orang lain. Perintah ini berulang-ulang datang dalam Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW. Islam memerintahkan orang Islam untuk bercakap benar walaupun bertentangan dengan kepentingan diri sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang mengucap tahniah kepada Pertubuhan Nilai-Nilai Murni Untuk Keamanan Sejagat (PNM) dan China People’s Federation for World Peace International (CPFFWPI) kerana menganjurkan Perhimpunan Dunia Cina kedua 2021 di Pulau Pinang hari ini.

Jais berkata, Islam juga memerintahkan umatnya supaya tidak menipu atau mengkhianati orang lain.

“Seorang muslim diperintahkan oleh Allah untuk jujur dalam perkataan dan perbuatannya, baik secara tertutup maupun secara terbuka.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada PNM dan CPFFWPI kerana menganjurkan Perhimpunan Dunia Cina kedua 2021.Saya mengagumi nilai budaya tradisional Cina terutamanya nilai kejujuran. Kejujuran merujuk kepada kebolehpercayaan, integriti, dan kredibiliti,”katanya.

Katanya lagi, nilai-nilai tersebut begitu selari dengan visi Malaysia MCW, yang bertindak sebagai NGO yang memangkin Gerakan Anti Rasuah Malaysia yang agresif dalam usaha memerangi rasuah di negara ini dengan berkesan.

Beliau menambah, tema Perhimpunan Dunia Cina kedua iaitu “Nilai-Nilai Budaya Tradisional Cina dalam Perubahan Zaman” adalah sangat tepat pada masanya.

“Dunia berada dalam cabaran besar dan kita perlu mengatasinya bersama-sama.

“Saya ingin bekerjasama rapat dengan PNM pada masa hadapan, untuk meneroka peluang untuk mewujudkan masyarakat yang lebih baik untuk dunia,”katanya. – BebasNews

Leave a Reply