Maszlee Malik

(UPDATE) AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik hari ini mengumumkan penyertaannya dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) setelah tidak menganggotai mana-mana parti sejak meninggalkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) pada November 2020.

Beliau mengumumkan penyertaan dalam ajlis bersama Presiden PKR Anwar Ibrahim di Simpang Renggam.

Sejak beberapa hari lalu, media dan portal berita melaporkan bekas Menteri Pendidikan itu bakal menyertai PKR dan mengumumkannya petang ini

Anwar yang juga Pengerusi PH dijadualkan hadir ke Majlis Jelajah Presiden Keadilan ke Parlimen Simpang Renggam di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada jam 3.45 petang ini.

Maszlee bagaimanapun enggan mengulas perkara itu, sebaliknya meminta orang ramai mengikuti siaran langsung di akaun Facebooknya hari ini.

Maszlee sebelum ini dikenali sebagai seorang ahli akademik BERSATU, bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di Parlimen Simpang Renggam, dan memenangi kerusi berkenaan.

Maszlee pernah menganggotai Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dan dilantik sebagai Menteri Pendidikan kerajaan PH namun meletak jawatan susulan beberapa kontroversi.

Beliau dipecat dari BERSATU pada Mei tahun lalu susulan konflik dalaman yang tercetus akibat keputusan parti itu untuk keluar daripada PH.

Maszlee kemudian memutuskan untuk menjadi Ahli Parlimen Bebas, sementara beberapa pemimpin yang dipecat dari BERSATU termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti Pejuang.

Difahamkan, bekas Menteri Pendidikan era rejim Pakatan Harapan (PH) itu akan menjadi ahli PKR hari ini.

Walau bagaimanapun, tidak diketahui sama ada Maszlee akan diberi peranan penting dalam PKR atau sekadar menjadi ahli biasa.

Sebelum menjadi Ahli Parlimen Bebas, beliau merupakan salah seorang pengasas Pejuang yang ditubuhkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tidak diketahui dengan jelas mengapa Maszlee tiba-tiba meninggalkan parti yang dikuasai Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz itu.

Semasa menerajui Kementerian Pendidikan, terdapat beberapa isu membelenggu pentadbiran Maszlee seperti peruntukan kepada sekolah persendirian Cina.

Beliau juga terkenal dengan julukan ‘menteri kasut hitam’ setelah secara tiba-tiba mengumumkan tentang pemakaian kasut hitam di sekolah dalam satu wawancara yang disiarkan di televisyen.

Keputusan tersebut menimbulkan rungutan dalam kalangan ibu bapa kerana mereka terpaksa berbelanja lebih untuk membeli kasut baharu bagi anak-anak.

Pengilang kasut dan penjual juga mengeluh kerana dasar pemakaian kasut hitam menyebabkan kasut putih yang berada di pasaran dan gudang tidak laku. – Bebasnews

Leave a Reply