mekah kaabah
Image by jakman1 from Pixabay

KUALA LUMPUR – Kos menunaikan ibadah haji tanpa subsidi bagi setiap jemaah negara ini meningkat hampir 50 peratus kepada lebih RM30,000 seorang pada tahun depan.

Pada masa ini kos untuk seorang jemaah adalah RM23,000.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, “sebarang perubahan kos sebenar akan diumumkan kelak.”

Beliau menjelaskan peningkatan kos berkenaan secara dasar disebabkan oleh kenaikan cukai nilai tambah (VAT) Arab Saudi kepada 15 peratus seorang daripada lima peratus ketika ini.

Beliau berkata, peningkatan itu juga disebabkan oleh perubahan prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan oleh kerajaan Arab Saudi semasa pandemik Covid-19, lapor Utusan Online.

“Sebagai contoh, jika sebelum ini jemaah haji ditempatkan di hotel, seramai enam orang sebilik tetapi apabila SOP baharu itu diperkenalkan, hanya dua jemaah dibenarkan sebilik,” kata beliau selepas menyampaikan bantuan kepada 18 keluarga yang merupakan mangsa kebakaran dua minggu lalu di Jalan Sultanah Zainab, di Kelantan.

Ahmad Marzuk berkata, Tabung Haji (TH) akan terus membantu menanggung sebahagian kos jemaah seperti biasa tetapi setakat ini kerajaan belum dapat menyatakan jumlah sebenar tanggung tersebut.

“Kerajaan tidak pernah menaikkan kadar kos haji sejak 2001. Dalam tempoh itu, TH mengekalkan kos menunaikan haji sebanyak RM9,980 seorang meskipun jumlah sebenar ditetapkan kerajaan Arab Saudi RM23,000,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata kerajaan juga belum dimaklumkan oleh Kerajaan Arab Saudi tentang kuota jemaah haji negara pada tahun depan tetapi akur sekiranya jumlahnya dikurangkan daripada kuota sedia ada seramai 30,000 orang. – BebasNews

Leave a Reply