Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Najib Razak telah membuat laporan polis supaya siasatan diadakan untuk menentukan sama ada bukti berkaitan kes mahkamahnya disembunyikan pihak tertentu dalam agensi-agensi kerajaan dan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

Bercakap di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Najib merujuk transaksi berjuta ringgit dikaitkan dengan saksi pendakwaan dalam kes 1MDB dan SRC International yang dilaporkan atau disahkan baru-baru ini, lapor FMT.

Najib yang tidak mendedahkan individu terbabit, berkata, seorang daripada saksi itu digambarkan sebagai “bekas Gabenor Bank Negara Malaysia”.

Bekas Predana Menteri itu menyatakan kekecewaannya kerana tiada agensi penyiasatan pernah mendedahkan kepada beliau tentang hubungan keluarga Gabenor itu dengan Jho Low.

Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan RM65 juta dana berkaitan 1MDB yang diperoleh daripada Cutting Edge Industries, sebuah syarikat di Singapura yang dikawal Tawfiq Ayman dan rakan kongsinya, Samuel Goh.

Tawfiq ialah suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Zeti Akhtar Aziz.

Awal tahun ini, Iron Rhapsody yang dimiliki Tawfiq dan anaknya dilaporkan menerima RM66 juta daripada syarikat dan akaun bank dikaitkan dengan Low Taek Jho (Jho Low), ahli perniagaan yang diburu pihak berkuasa dalam skandal 1MDB.

Polis Singapura turut dilapor memaklumkan kepada BNM pada 2015 dan 2016 mengenai transaksi mencurigakan itu membabitkan syarikat milik Tawfiq, dengan dana daripada akaun yang dikaitkan dengan Jho Low. Zeti adalah Gabenor BNM ketika itu.

Najib turut mempersoalkan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas atas peranannya dalam menyembunyikan maklumat itu.

“Saya kecewa dengan pendedahan Thomas dua hari lalu yang beliau tahu mengenai transaksi sedemikian ketika memegang jawatan itu dan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Parlimen Isnin lalu bahawa polis tahu mengenai perkara ini sekurang-kurangnya sejak 2019, tetapi masih menyiasatnya sehingga kini.

“Maklumat sedemikian tidak pernah dimaklumkan kepada saya dan pasukan peguam saya untuk digunakan dalam pembelaan mahkamah saya, walaupun beliau (Zeti) dinamakan sebagai saksi pendakwaan dalam kedua-dua kes SRC dan 1MDB saya.”

Najib berkata, beliau turut dimaklumkan seorang lagi saksi pendakwaan utama dalam kes SRC juga menerima dana lebih RM85 juta yang dikaitkan secara langsung dengan 1MDB.

“Sekali lagi, saya dan pasukan peguam saya tidak dimaklumkan mengenainya.”

Susulan pengumuman SPRM itu, beberapa pihak menggesa siasatan dibuka ke atas peranan Zeti dalam saga 1MDB.

Mereka termasuk Ahli Parlimen Subang Jaya, Wong Chen daripada PKR, Ketua Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin, Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Quek Tai Seong dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, yang mahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat isu itu. – BebasNews

Leave a Reply